MANILA: Rakyat Malaysia merupakan antara lebih 1,000 mangsa pemerdagangan manusia melalui sindiket penipuan dalam talian yang diselamatkan pihak berkuasa Filipina.
Jurucakap Kumpulan Anti-jenayah Siber Pasukan Polis Filipina, Michelle Sabino mengesahkan pegawainya menyerbu beberapa bangunan di bandar Mabalacat kira-kira 90 kilometer di utara Manila yang menjadi sarang menjalankan kegiatan itu kelmarin.
Seramai 1,090 orang termasuk beberapa warga Asia yang direkrut untuk menjalankan penipuan dalam talian secara paksa diselamatkan dalam serbuan itu.
Sabino berkata, mangsa-mangsa tersebut diarah melakukan penipuan dalam talian dengan menyasarkan rakyat Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Kanada.
“Pasport mereka turut dirampas dan dipaksa untuk bekerja sehingga 18 jam sehari, malah gaji juga akan dipotong jika dilihat berinteraksi dengan rakan sekerja atau berehat panjang.
“Mereka dilayan seperti banduan. Mangsa-mangsa ini juga langsung tidak dibenarkan bercakap dengan rakan sebilik dan tidak dibenarkan keluar di luar sempadan pintu pagar. Selepas 18 jam bekerja, mereka akan terus dibawa ke asrama,” jelasnya.
Mangsa kebanyakannya warga China, Vietnam, Filipina, Indonesia, Malaysia, Thailand, Taiwan, Myanmar, Hong Kong dan Nepal.
Sabino berkata, pekerja itu dilatih untuk menarik orang yang tidak dikenali membeli mata wang kripto atau mendepositkan wang ke dalam akaun bank palsu selepas menjalinkan hubungan percintaan.
“Mereka akan membina janji manis masa depan yang baik dan memasang jerat kononnya memerlukan wang untuk menjalankan perniagaan, membeli rumah, kereta atau menyertai skim pelaburan palsu,” katanya.
Sekurang-kurangnya 12 orang yang disyaki mengetuai kumpulan sindiket itu berjaya diberkas dan akan didakwa atas tuduhan pemerdagangan manusia termasuk tujuh warga China, empat rakyat Indonesia dan seorang warga Malaysia.
Sabino juga memaklumkan, operasi serbuan di kawasan berkenaan dijalankan hasil rayuan Duta Indonesia di Manila ketika mendapatkan bantuan mencari warga negaranya yang hilang dan ditimpa masalah.
Bulan lalu, Senator Filipina, Risa Hontiveros memberi amaran bahawa pusat panggilan penipuan beroperasi di Filipina dan menggaji warga asing yang diperdagangkan ke negara itu.-AFP