Erdogan masih jadi pilihan rakyat Turkiye

Erdogan masih jadi pilihan rakyat Turkiye

PRESIDEN Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bersama isterinya, Emine Erdogan tiba di pusat pengundian di Istanbul. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan melepasi jangkaan apabila Perikatan Rakyat di bawah pimpinannya mendahului kiraan undi dalam pilihan raya umum dan presiden negara ini.

Erdogan yakin kemenangan akan berpihak pada partinya, sekali gus membolehkan beliau sekali lagi memimpin Turkiye.

“Kita sudah pun mendahului pesaing sengit kita dengan 2.6 juta undi. Kita jangkakan jumlah itu akan terus bertambah seiring dengan keputusan rasmi yang bakal diumumkan kelak,” katanya.

Dengan hampir 97 peratus undi sudah dikira, Erdogan mendahului dengan 49.39 peratus undi dan pesaingnya, Kemal Kilicdaroglu memperoleh 44.92 peratus undi.

Pencapaian itu berbeza dengan pungutan awam yang diperoleh Erdogan sebelum ini apabila majoriti rakyat mahukan perubahan dalam kerajaan Turkiye dan melihat Kilicdaroglu sebagai calon terbaik untuk membawa pembaharuan tersebut.

Malah, dua hari sebelum pilihan raya berlangsung, Erdogan gagal memperoleh 50 peratus dalam pungutan awam.

Erdogan dan Kilicdaroglu masing-masing perlu memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus atau lebih undian bagi mengelakkan mereka memasuki pusingan kedua yang akan diadakan ada 28 Mei ini.

Dalam pada itu, Parti Rakyat Republikan (CHP) pimpinan Kilicdaroglu mendakwa parti Erdogan mencampuri proses pengiraan undinya dan membuat bantahan.

Selain itu, CHP turut menyatakan parti pemimpin Turkiye itu sengaja menangguhkan keputusan penuh dengan mengemukakan pelbagai bantahan.

“Anda tidak boleh mengelak apa yang bakal berlaku dengan mengemukakan banyak bantahan.

“Kita tidak akan biarkan masalah menjejaskan keputusan pilihan raya kali ini,” ujar Kilicdaroglu.

Sementara itu, ribuan penyokong Erdogan memenuhi sekitar ibu pejabat Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Ankara sambil menyanyikan lagu parti dan mengibarkan bendera.

“Biarpun keputusan rasmi belum diumumkan, kami yakin Erdogan akan terus memimpin Turkiye. Beliau merupakan pemimpin terbaik untuk negara ini,” kata seorang penyokongnya. – REUTERS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN