Dunia ucap tahniah kepada Erdogan

Dunia ucap tahniah kepada Erdogan

PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan (berdiri tengah) bersama pemimpin partinya menyambut penyokongnya selepas kemenangannya dalam pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye, di Istana Presiden di Ankara. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Recep Tayyip Erdogan berjaya mengekalkan kuasanya selepas memenangi pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye yang menjadi cabaran terbesar sepanjang dua dekad pemerintahannya di negara itu.

Pengerusi Majlis Pilihan Raya (YSK), Ahmet Yener memaklumkan Erdogan mempertahankan jawatan nombor satu negara selepas meraih sebanyak 52.14 peratus undi.

Menurut Yener, pencabar Erdogan, Kemal Kilicdaroglu hanya menerima 47.86 peratus undi setelah 99.43 peratus peti undi dikira.

Jelasnya, dengan jurang lebih dua juta undi antara kedua-dua calon itu, baki undi yang tidak dikira tidak akan mengubah keputusan berkenaan.

Pilihan raya penentu itu berlangsung ketika negara itu dilanda krisis kos sara hidup yang menyaksikan kadar inflasi memuncak pada 85 peratus pada Oktober tahun lalu serta kejadian gempa bumi mengorbankan lebih 50,000 penduduk.

Erdogan, 69, yang pada mulanya berkhidmat sebagai Perdana Menteri Turkiye pada 2003 sebelum menyusul menjadi presiden pada 2014, menawarkan visi pembangunan masa hadapan.

Selain itu, beliau juga berjanji meluaskan penambahbaikan yang dilakukan oleh parti pemerintahannya, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Pemimpin Turkiye paling lama berkhidmat itu juga diuji pelbagai cabaran yang tidak pernah dialami sebelum ini termasuk pilihan raya paling penting pada ulang tahun ke-100 penubuhan negara itu sebagai sebuah republik pasca Uthmaniyyah.

Kemenangan Erdogan dalam pilihan raya penentu itu mendapat reaksi dan ucapan tahniah daripada sebahagian besar pemimpin dunia.

Antaranya termasuk:

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)

Setiausaha Agung, Antonio Guterres menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan atas pemilihan semula beliau sebagai Presiden Turkiye.

“Beliau berharap agar dapat mengukuhkan lagi kerjasama antara Turkiye dan PBB,” kata jurucakapnya, Stephane Dujarric dalam kenyataan.

AMERIKA SYARIKAT (AS)

Presiden, Joe Biden dan Setiausaha Negara, Antony Blinken mengucapkan tahniah atas kemenangan pemimpin itu.

“Saya berharap untuk terus bekerjasama sebagai sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam pelbagai perkara termasuk berkaitan isu dua hala dan berkongsi cabaran global,” kata Biden menerusi ciapan di Twitter.

Blinken pula menggelar Turkiye sebagai sekutu dan rakan kongsi NATO yang amat dihargai, selain memuji kadar peratusan penduduk keluar mengundi yang tinggi dan `tradisi demokrasi yang berkekalan’ di negara itu.

RUSSIA

Presiden Vladimir Putin menyifatkan kemenangan Erdogan sebagai bukti rakyat Turkiye menghargai `usaha pemimpin itu tanpa mementingkan diri sendiri’ dan dasar luar negara yang bebas.

Putin juga menghargai sumbangan Erdogan untuk mengukuhkan hubungan `akrab’ Russia-Turkiye serta menyatakan kesediaan meneruskan `dialog membina’ dalam agenda dua hala, serantau dan antarabangsa.

UKRAINE

Presiden Volodymyr Zelensky mengucapkan tahniah kepada Erdogan dan menyuarakan hasrat untuk mengukuhkan perkongsian strategik kedua-dua negara serta keselamatan dan kestabilan Eropah.

ARAB SAUDI

Raja Salman Abdulaziz al-Saud berkenaan menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan yang dipilih semula sebagai Presiden Turkiye.

BRITAIN

Perdana Menteri, Rishi Sunak berharap agar dapat meneruskan kerjasama yang kukuh antara dua negara itu termasuk menangani ancaman keselamatan sebagai sekutu NATO.

PERANCIS

Presiden Emmanuel Macron menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan sambil memaklumkan `Perancis dan Turkiye akan terus maju bersama’. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.