China haramkan pembelian cip memori dari syarikat AS - Utusan Malaysia

China haramkan pembelian cip memori dari syarikat AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China mengharamkan pengendali projek infrastruktur utama di negara itu membeli cip daripada syarikat pengeluar utama milik Amerika Syarikat (AS).

Pengawal selia ruang siber China mengumumkan pengeluar cip memori terbesar AS, Micron Technology menimbulkan risiko keselamatan rangkaian yang serius kepada negara itu, justeru menghalang pengendali infrastruktur utama membuat pembelian daripada syarikat berkenaan.

Keputusan itu merangkumi sektor telekomunikasi, pengangkutan dan kewangan.

“Semakan mendapati bahawa produk Micron Technology mempunyai risiko keselamatan rangkaian yang serius dan boleh membahayakan keselamatan rantaian bekalan infrastruktur maklumat kritikal China termasuk keselamatan negara ini,” kata Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) dalam satu kenyataan.

Keputusan itu merupakan langkah besar pertama China menentang syarikat pengeluar cip AS, ketika ketegangan semakin memuncak antara Beijing dan Washington beberapa hari selepas kumpulan negara G7 melancarkan kritikan terhadap amalan perdagangan China.

Kerajaan AS berkata, negara itu akan bekerjasama dengan sekutunya bagi menangani masalah pasaran cip memori yang disebabkan oleh tindakan China.

“Kami tegas menentang sekatan yang tidak mempunyai asas sebenarnya.

“Tindakan ini, bersama-sama dengan serbuan baru-baru ini menyasarkan firma AS yang lain, tidak konsisten dengan dakwaan China bahawa negara itu membuka pasarannya dan komited kepada rangka kerja pengawalseliaan yang telus,” kata jurucakap Jabatan Perdagangan AS.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya