Bencana banjir dan kebakaran hutan paksa ribuan penduduk Kanada berpindah - Utusan Malaysia

Bencana banjir dan kebakaran hutan paksa ribuan penduduk Kanada berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL: Cuaca panas terik yang direkodkan selama seminggu di barat Kanada memaksa ribuan penduduk berpindah dari kediaman mereka dengan kebakaran hutan dilapor melanda beberapa bahagian di Alberta sementara salji yang mencair pula mencetuskan banjir di seluruh pedalaman British Columbia.

Sejak semalam, lebih 13,000 orang di Alberta diarah berpindah ketika 78 kebakaran hutan semakin marak di kawasan berkenaan.

Antara kawasan yang paling teruk terjejas ialah wilayah Little Red River Cree Nation di utara wilayah itu selepas kebakaran Fox Lake seluas 1,458 hektar memusnahkan 20 rumah dan balai polis.

Keseluruhan 7,000 penduduk Lembah Drayton kira-kira 140 kilometer (km) di barat ibu kota wilayah Edmonton turut diarah berpindah pada lewat malam Khamis.

Pipeline Corp yang mengendalikan saluran paip pengumpulan minyak di rantau itu berkata, pihaknya sudah mengaktifkan tindak balas kecemasan serta proses pengurusan insiden bagi menilai sebarang impak operasi semasa dan akan datang.

Tiada kesan yang dilaporkan terhadap pengeluar minyak dan gas setakat ini.

Pengurus Unit Maklumat Kebakaran Hutan Alberta, Christie Tucker berkata, terdapat 348 kebakaran hutan di Alberta tahun ini yang memusnahkan kawasan seluas 25,000 hektar.

“Terdapat lebih banyak aktiviti kebakaran berlaku tahun ini berbanding sebelumnya dan mungkin dijangka terus meningkat.

“Cuaca akan menjadi lebih panas dan lebih berangin justeru kami menjangkakan beberapa siri kebakaran hutan yang melampau mungkin beraku dalam tempoh terdekat. Anggota bomba bersedia untuk menghadapi hari yang amat mencabar ini,” katanya.

Di British Columbia, air sungai melimpah, membanjiri kawasan kediaman hingga memaksa penutupan lebuh raya di banyak komuniti di seluruh pedalaman wilayah, termasuk Cache Creek dan Grand Forks.

Berikutan ramalan hujan lebat, Kementerian Pengurusan Kecemasan menggesa masyarakat bersedia menghadapi lebih banyak bencana banjir pada hujung minggu.

“Suhu panas di pedalaman mempercepatkan proses pencairan salji dan menyebabkan peningkatan tekanan pada sungai dan anak sungai.

“Keadaan dijangka bertambah buruk apabila hujan dan petir diramalkan berterusan hingga Sabtu yang meningkatkan kemungkinan banjir,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN