Bahang PRU Thailand kian terasa

Bahang PRU Thailand kian terasa

ORANG ramai beratur untuk mengundi awal di sebuah kuil di Bangkok, Thailand. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Di bawah terik matahari, rakyat Thailand mula beratur di luar kuil, pusat beli-belah dan sekolah untuk melakukan pengundian awal menjelang pilihan raya umum (PRU) yang dijadualkan berlangsung pada Ahad depan.

Lebih dua juta rakyat Thailand di seluruh negara berdaftar untuk mengundi awal dan penglibatan mereka boleh membawa perubahan besar dalam kerajaan negara ini.

Pilihan raya umum yang bakal berlangsung pada Ahad ini juga menyaksikan persaingan sengit antara kerajaan yang disokong tentera dengan parti pembangkang.

Perdana Menteri Prayut Chan-o-Cha yang mula memegang tampuk pentadbiran pada 2014 menerusi rampasan kuasa tentera menunjukkan kemerosotan sokongan rakyat menerusi tinjauan pendapat yang dilakukan.

Sebaliknya, rakyat negara ini mula menabur kepercayaan sedikit demi sedikit kepada parti pembangkang iaitu Parti Pheu Thai dan Parti Move Forward.

Namun, disebabkan sistem pilihan raya Thailand dilihat lebih ‘memihak’ kepada parti-parti yang disokong tentera, parti pembangkang perlu memperoleh kemenangan besar untuk membentuk kerajaan baharu.

“Saya harap pilihan raya kali ini akan mengubah negara ini ke arah yang lebih baik.

“Saya mengundi calon parti yang saya suka, yang boleh memenuhi keperluan rakyat,” kata seorang pekerja pusat beli-belah, Srisuda Ongsa, 28, selepas mengundi.

Wanita itu merupakan ratusan orang ramai yang beratur secara tenang di pusat pengundian di daerah Ekkamai.

SUHU PANAS

Biarpun waktu pagi, suhu di sekitar Bangkok direkodkan tinggi iaitu 39 darjah Celsius, namun itu tidak menghalang orang ramai daripada melaksanakan kewajipan mereka.

“Saya agak teruja dengan pengundian kali ini kerana ini merupakan kali pertama saya mengundi.

“Saya sudah fikir masak-masak dan sudah tahu mahu undi parti mana. Saya harap pilihan saya tepat,” kata Pasawee Sriarunothai, 20.

Terdahulu, negara ini dilanda suhu panas sehingga menyebabkan kebakaran hutan di bahagian utara, iaitu wilayah Chiang Mai.

Kebakaran hutan itu menyebabkan jerebu tebal menyelubungi wilayah berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan menjelang pilihan raya umum kali ini.

Banyak parti politik bimbang jika rakyat di utara Thailand tidak mahu keluar mengundi disebabkan kualiti udara yang tercemar.

Chiang Mai merupakan satu daripada kubu kuat Pheu Thai dan peratusan rakyat yang keluar mengundi di wilayah itu bakal menjadi penentu kepada kemenangan atau kekalahan buat parti tersebut.

Pheu Thai menampilkan anak perempuan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, iaitu Paetongtarn Shinawatra.

KEADAAN LANCAR

Semua pusat pengundian ditutup pukul 5 petang.

Pihak berkuasa merupakan antara golongan paling ramai terlibat dalam proses pengundian awal kali ini.

Polis memaklumkan, seramai 3,000 anggota ditempatkan di seluruh Bangkok dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai kesesakan trafik., terutamanya di kawasan pusat pengundian.

Selain itu, kira-kira 100,000 rakyat Thailand yang tinggal di luar negara turut pulang ke tanah air untuk mengundi.

Lebih 52 juta rakyat di seluruh negara layak untuk mengundi dalam pilihan raya kali ini. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya