ASEAN gesa elak pertikaian libat Laut China Selatan - Utusan Malaysia

ASEAN gesa elak pertikaian libat Laut China Selatan

GAMBAR menunjukkan kapal tentera maritim China berlabuh di atas beting di Pulau Spratly di Laut China Selatan. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Negara Asia Tenggara menggesa semua pihak berkaitan mengelakkan sebarang pertikaian di Laut China Selatan supaya ia menjadi ‘lautan keamanan’ lapor Anadolu.

Pemimpin ASEAN membuat gesaan itu ketika perbincangan mengenai Laut China Selatan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia.

Beberapa anggota ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap pertikaian dan pertembungan serius di kawasan itu, termasuk kerosakan terhadap kehidupan marin, ‘yang telah menghakis kepercayaan dan keyakinan, meningkatkan ketegangan dan boleh menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini’.

“Kami menegaskan kembali keperluan untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama, mengamalkan kawalan diri dalam menjalankan aktiviti yang akan merumitkan atau meningkatkan pertikaian.

“Ini boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan, serta mengelakkan tindakan yang boleh merumitkan lagi keadaan,” menurut ASEAN dalam satu kenyataan.

Pada 2016, Filipina memenangi kes di Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague yang membatalkan tuntutan China bagi perluasan Laut China Selatan.

Kapal perang dan jet pejuang milik Amerika Syarikat (AS) sering kali dilihat di perairan Laut China Selatan yang disifatkan Washington sebagai zon ‘kebebasan pelayaran’, bagaimanapun Beijing berulang kali mengecam tindakan itu sebagai pencabulan keutuhan wilayahnya.

Pemimpin ASEAN semalam ‘menegaskan keperluan untuk meneruskan penyelesaian pertikaian secara aman mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat termasuk UNCLOS 1982’.

Blok 10 negara anggota itu turut menggesa Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) dipatuhi.

DoC ialah perjanjian mengenai Laut China Selatan yang ditandatangani oleh ASEAN dan China pada November 2002, menandakan penerimaan pertama China terhadap perjanjian pelbagai hala mengenai isu terbabit.

Menegaskan semula kepentingan mengekalkan dan menggalakkan keamanan, keselamatan, kestabilan, keselamatan, dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, pemimpin ASEAN ‘mengiktiraf faedah menjadikan Laut China Selatan sebagai lautan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran’.

“Kami menggariskan kepentingan pelaksanaan penuh dan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) secara keseluruhannya,” kata pemimpin yang mengalu-alukan usaha berterusan bagi mengukuhkan kerjasama ASEAN-China.

Kenyataan itu juga menyatakan kemajuan rundingan substantif ke arah kesimpulan awal Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan yang konsisten dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya