GRESIK: Seorang lelaki didakwa membunuh anak perempuannya yang berusia sembilan tahun dengan menikamnya sebanyak 24 kali di beberapa bahagian badan sehingga satu daripadanya menembusi jantung.
Menurut polis, suspek yang dikenali sebagai Muhammad Qodad Affaul atau Afan itu menikam anaknya ketika kanak-kanak perempuan itu nyenyak tidur di rumah mereka di Menganti, Gresik, Jawa Timur.
Ketua Polis Gresik, Aldhino Prima irdhan berkata, suspek dipercayai dalam tekanan kerana isterinya meninggalkan mereka anak-beranak, selain lelaki itu berusaha menyelamatkan rumah tangganya.
“Suspek berasa kecewa dengan rumah tangganya yang goyah, dia berasa seperti tiada harapan untuk berbaik dengan isterinya, lalu tekad membunuh anak perempuan mereka.
“Afan juga memberikan alasan, anak perempuannya akan terus masuk ke syurga kerana tiada dosa, dan disebabkan itu, dia membunuhnya,” katanya seperti yang dilapor Tribunnews.
Selain itu, polis memaklumkan, Afan dalam keadaan waras ketika membunuh anaknya.
Jelas Aldhino, ketika disoal siasat, riak wajah suspek langsung tidak menunjukkan dia menyesali perbuatannya, sealiknya asyik mengulangi bahawa anak perempuannya akan masuk ke syurga.
“Anak saya tidak bersalah, dia akan terus masuk syurga, tetapi ibunya penuh dosa dan dia tidak akan masuk syurga,” ujar suspek.
Sebelum ditahan, Afan pernah dipenjara selama tiga tahun setengah berikutan disabit kesalahan menggunakan dadah pada 2016.
Ketika kejadian, polis mengesahkan lelaki itu tidak menggunakan dadah.