TEHERAN: Seorang ulama Iran berpengaruh yang juga ahli Perhimpunan Pakar yang memilih pemimpin tertinggi di negara itu terbunuh dalam satu serangan bersenjata semalam.
Serangan itu dipercayai paling berprofil tinggi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini melibatkan ulama di Iran.
“Ayatollah Abbas Ali Soleimani terbunuh dalam serangan bersenjata dan penyerang juga sudah ditahan,” lapor agensi berita IRNA, memetik kenyataan seorang pegawai keselamatan di wilayah utara Mazandaran, di mana kejadian itu berlaku.
Serangan itu berlaku di dalam sebuah bank di bandar Babolsar dan pihak berkuas masih menyiasat motif serangan.
Gabenor Mazandaran, Mahmoud Hosseinipour, berkata penyerang merupakan pegawai keselamatan tempatan di bank itu.
“Setakat ini, maklumat dan dokumen kami menunjukkan bahawa ia bukan tindakan keselamatan atau pengganas,” kata Hosseinipour.
Beliau turut memaklumkan penyerang tidak mengetahui individu itu ialah Ayatollah.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikeluarkan agensi berita Tasnim menunjukkan pengawal keselamatan itu yang mengenakan jaket biru dan putih menembak ulama berkenaan dari belakang ketika dia duduk di kerusi di dalam bank.
Berikutan pembunuhan itu, Pendakwa Raya Iran, Mohammad Jafar Montazeri mengarahkan pihak berkuasa wilayah untuk ‘menyiasat isu itu dari sudut berbeza, melakukan tindakan susulan dan melaporkan keputusannya’.
Soleimani, 75, sebelum ini adalah wakil Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Beliau juga pernah menjadi imam solat Jumaat mingguan di bandar Kashan, di wilayah Isfahan dan Zahedan di wilayah Sistan-Baluchistan.
Di bawah perlembagaan, Perhimpunan Pakar diwakili 88 orang. Mereka diberi mandat untuk menyelia, memecat dan memilih Pemimpin Tertinggi. – AFP