TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan memaklumkan lapan kapal perang dan 42 pesawat pejuang milik China dikesan di sekitar negara itu.
Kapal dan pesawat perang itu dikesan ketika China melancarkan latihan ketenteraan selama tiga di Selat Taiwan.
Menurut kementerian, pencerobohan itu turut membabitkan 29 pesawat yang memasuki barat daya Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) negara itu.
Berdasarkan data dikumpul oleh AFP, jumlah itu merupakan yang paling tinggi dalam tempoh sehari pada tahun ini.
Jelas kementerian, pencerobohan itu dikesan antara pukul 6 dan 11 pagi (waktu tempatan).
Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan menggesa China untuk mengehadkan semua aktiviti.
“Parti Komunis China (PKC) terus melakukan intimidasi ketenteraan Taiwan untuk menjejaskan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan serta di rantau ini.
“Taiwan tidak akan berundur atau mengalah. Kami juga tidak akan melakukan provokasi atau bertindak secara terburu-buru,” katanya.
Latihan ketenteraan China itu berlaku sehari selepas Presiden Tsai Ing-wen pulang ke Taiwan setelah bertemu dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy.
China menghantar kapal perang dan pesawat berhampiran Taiwan pada hari kedua, sebagai mesej jelas bahawa pulau itu akan kekal sebagai sebahagian daripada China yang tidak dapat dipisahkan. – AFP