ANKARA: Russia menegaskan sebarang rundingan damai membabitkan Ukraine harus memberi tumpuan kepada mewujudkan ‘perintah dunia baharu.’
Perkara itu disuarakan oleh Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov ketika dalam lawatan ke Turkiye.
Diplomat tertinggi Russia itu berada di Turkiye untuk mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya, Mevlut Cavusoglu.
Sehingga kini, Turkiye terus mengekalkan hubungan dengan Moscow dan Kyiv.
Lavrov turut menegaskan untuk membatalkan perjanjian bijirin yang diusahakan oleh Turkiye, sekiranya sekatan terhadap eksport Russia masih kekal.
“Sebarang rundingan perlu mengambil kira kepentingan dan kebimbangan Russia.
“Ia seharusnya berlandaskan prinsip perintah dunia baharu yang akan diasaskan,” katanya.
Tambah Lavrov, Russia menolak `perintah unipolar dunia’ yang diketuai oleh hegemoni tunggal.
Russia sejak dahulu lagi menyatakan menentang penguasaan Amerika Syarikat (AS) di peringkat antarabangsa serta mendakwa pencerobohan di Ukraine adalah sebahagian usaha berkenaan.
Peperangan berlarutan di Ukraine meningkatkan kebimbangan terhadap krisis makanan global memandangkan Russia dan Ukraine merupakan pengeksport utama bijirin serta produk pertanian lain.
Bagaimanapun, Lavrov berkata, Russia mungkin akan menarik diri daripada perjanjian yang membenarkan eksport penting meninggalkan pelabuhan disekat di Laut Hitam.
“Sekiranya tiada perkembangan lanjut bagi menamatkan sekatan terhadap eksport baja dan bijiran Russia maka kami akan mempertimbangkan sama ada perjanjian ini perlu atau tidak,” katanya.
Pada malam sebelum lawatan itu, Moscow memaklumkan pihaknya melanjutkan perjanjian selama 60 hari lagi sebagai tanda niat baik.
Sebelum ini, Russia berulang kali mengancam untuk menarik diri daripada perjanjian yang membenarkan eksport lebih 25 juta tan bijirin. – AFP










