Ribuan pelarian Myanmar lintas sempadan Thai

Ribuan pelarian Myanmar lintas sempadan Thailand

KEGANASAN yang semakin meningkat sejak rampasan kuasa memaksa orang awam untuk melarikan diri. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Ribuan pelarian menyelamatkan diri dengan melintasi sempadan Thailand di tengah-tengah pertempuran sengit antara kumpulan pemberontak bersenjata Myanmar dan tentera negara itu.

Lapor Al Jazeera, Myanmar kini dilanda kemelut politik apabila tentera merampas kuasa daripada kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih oleh rakyat pada Februari 2021, membawa kepada protes besar-besaran dan pemberontakan bersenjata.

Pegawai Thai berkata, pertempuran berhampiran sempadan negara mereka tertumpu berhampiran bandar Myawaddy di selatan negeri Karen, juga dikenali sebagai Kayin, bersempadan dengan wilayah Tak di Thailand.

“Kira-kira 3,998 orang melarikan diri ke tempat perlindungan sementara Thailand di 10 kawasan, kata pegawai wilayah Tak dalam satu kenyataan.

Pegawai Thai itu menambah, keadaan semasa turut dipantau dengan rapi.

Akhbar berbahasa Inggeris, Khaosod Thailand dan BBC Burma berkata, pertempuran berlaku selepas serangan ke atas pos pengawal sempadan oleh pejuang bersenjata dari Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen iaitu kumpulan bersenjata etnik.

Seorang pekerja amal yang enggan namanya disiarkan memberitahu agensi berita Reuters, ramai pelarian menyeberangi sempadan sejak semalam dan ada juga yang masih menunggu di sebelah Myanmar untuk menyeberang.

“Pelarian ini tidak mempunyai air minuman yang mencukupi atau mana-mana tandas buat masa ini,” katanya,

Sejak rampasan kuasa berlaku, beberapa kumpulan bersenjata etnik seperti KNLA yang memerangi angkatan tentera selama beberapa dekad bergabung tenaga dengan kumpulan anti-rampasan kuasa.

Tentera Myanmar dilaporkan menggunakan kekerasan terhadap penentangnya, membunuh kira-kira 3,212 orang dan memenjarakan lebih 17,000 orang, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik.

Mereka juga dilaporkan beralih kepada pertahanan udara dalam usaha menghapuskan penentang dengan pemerhati menuduh tentera menyasarkan orang awam dalam pengeboman dan serangan darat.

Seluruh kampung dibakar sehingga menjadi padang jarak padang tekukur.

Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh termasuk kanak-kanak apabila kampung mereka di barat laut Myanmar dibom minggu lalu.

Tentera Myanmar mendakwa mereka hanya memerangi ‘pengganas’ dan menafikan menyasarkan orang awam.

Mereka menyalahkan pejuang anti-rampasan kuasa di atas kematian orang awam.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN