JAKARTA: Badan pengawal selia makanan Indonesia menegaskan satu daripada produk mi segera jenama terkenal dan terbesar di dunia, Indomie adalah selamat untuk dimakan di negara ini biarpun penjualannya ditarik balik di Malaysia dan Taiwan.
Isnin lalu, Jabatan Kesihatan Taipei menarik balik mi segera popular Indonesia, Indomie perisa ‘ayam istimewa’ yang dikeluarkan oleh Indofood CBP selepas ia dikesan mengandungi bahan karsinogenik etilena oksida karsinogenik yang boleh meningkatkan risiko kanser.
Rabu lalu, Malaysia turut mengarahkan pemeriksaan terhadap produk sama di semua pintu masuk dan meminta Indofood menarik balik penjualan produk berkenaan.
Namun, Agensi Pengawasan Ubatan dan Makanan Indonesia (BPOM) menyatakan, produk yang dijual di negara ini adalah selamat untuk dimakan kerana memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
BPOM turut menggesa Indofood CBP memastikan produknya tidak mengandungi paras etilina oksida yang tinggi.
Terdahulu, gesaan sama turut disuarakan oleh badan pemerhati pengguna Indonesia dan ahli Parlimen dalam Jawatankuasa Kesihatan Parlimen.
Pengeluar makanan dalam pek, Indofood Sukses Makmur (INDF.JK), Indofood CBP, mempunyai lebih daripada 20 kemudahan pengeluaran di seluruh dunia dan mi keluarannya boleh didapati di lebih 100 negara.
Menurut syarikat itu, pada tahun lalu, jualan di luar negara bagi produk CBP Indofood, termasuk barangan tenusu dan makanan ringan, menyumbang sebanyak 29 peratus daripada jumlah jualan keseluruhannya iaitu sebanyak 64.8 trilion rupiah (RM19.6 bilion).
Dalam pada itu, Indofood CBP enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut manakala syarikat induknya turut tidak memberikan sebarang maklum balas.
Indofood sebelum ini dipetik media tempatan sebagai berkata, produk itu mematuhi piawaian pengawal selia, di dalam negara dan di negara pengimport.
Pegawai Kementerian Perdagangan Indonesia, memberitahu media, Indomie di Indonesia selamat dan peraturan di Taiwan ‘sangat sensitif, berbeza dengan di negara ini’.
Etilena oksida ialah gas toksik, tidak berwarna dan tidak berbau yang digunakan terutama untuk nyahkuman peralatan perubatan dan rempah ratus. – REUTERS