SATUN: Pelancong Malaysia yang ingin memandu ketika bercuti di Thailand, disarankan untuk mengambil polisi perlindungan insurans penuh.
Perkara itu disuarakan oleh aktivis Malaysia, Abdul Halim Othman yang kini menetap di Satun, selatan Thailand.
Lapor thethaiger.com, Abdul Halim berkata, insurans penuh itu amat penting bagi mengurangkan masalah sekiranya berlaku nahas jalan raya.
Kata, Abdul Halim atau dikenali dengan panggilan Cikgu Joe Satun, isu pengambilan insurans itu perlu dipandang serius kerana kos rawatan hospital amat tinggi di Thailand.
Menurutnya, sejumlah pelancong Malaysia yang memandu melepasi sempadan Thailand untuk percutian singkat kadang kala mengelak daripada membeli insuran sama ada untuk menjimatkan wang atau tidak menyedari kerumitan bakal timbul semasa cuba menyelesaikan kes kemalangan.
“Sebaik sahaja kita melepasi sempadan Malaysia-Thailand walaupun untuk pergi berjalan-jalan makan di Pekan Danok, kita sudah tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa negara itu.
“Insurans ini akan bertindak sebagai `bantuan guaman’ yang menjadi penyelamat.
“Sekiranya tiada apa-apa berlaku, tidak mengapa, namun kalau terjadi, ia akan menjadi sukar tanpa perlindungan insurans penuh. Jadi anda perlu ingat perkara ini sebelum ia benar-benar berlaku,” katanya sepertimana dilaporkan media.
Jelas Abdul Halim, dia secara sukarela pernah membantu ramai rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas jalan raya di Thailand sejak 2011.
“Isteri saya berasal dari Satun dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Thai dan Melayu, jadi dia menjadi pemudah cara untuk berurusan dengan pihak berkuasa Thailand atau mangsa kemalangan.
“Saya pula akan menghubungi rakyat atau kedutaan Malaysia di sini berhubung dokumen yang diperlukan. Tanpa salah seorang kami, perkara ini tidak boleh dilakukan,” katanya.
Justeru, Abdul Halim mengingatkan bahawa insurans merupakan keperluan bagi mana-mana individu yang ingin memandu di jalan raya Thailand.