Pakistan catat inflasi tertinggi - Utusan Malaysia

Pakistan catat inflasi tertinggi

SEORANG wanita mendukung anaknya sambil mengangkat beg tepung percuma yang diterima dari pusat pengedaran kerajaan di Islamabad kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Inflasi harga barangan pengguna di Pakistan melonjak kepada  35.37 peratus bulan lalu berbanding tahun sebelumnya menyebabkan harga makanan ruji meningkat hampir 50 peratus di negara itu ketika Ramadan menjelang.

Pakistan kini berdepan krisis imbangan pembayaran yang semakin memuncak sekali gus memaksanya mengadakan rundingan jaminan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

16 MAUT BEREBUT SUMBANGAN TEPUNG

Beribu-ribu orang dilaporkan berkumpul di pusat pengedaran tepung yang ditubuhkan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada daripada program yang disokong kerajaan untuk mengurangkan kesan inflasi.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 16 orang, termasuk lima wanita dan tiga kanak-kanak terbunuh dalam rempuhan di pusat tersebut sejak beberapa hari lalu yang tercetus ekoran masalah kekurangan makanan.

Pegawai kanan polis Bandar Baldia di barat Karachi, Fida Janwari berkata, rempuhan itu berlaku apabila wanita berpusu-pusu ke lokasi agihan sumbangan bagi mendapatkan bekalan untuk anak-anak mereka.

Asma Ahmed, 30, berkata, nenek dan anak saudaranya adalah antara mangsa yang maut.

“Setiap hari kami akan datang ke sini untuk menerima sumbangan zakat. Mereka mula memukul wanita dengan kayu dan menolak mereka. Keadaan bertukar huru-hara. Kenapa panggil kami datang, jika tak boleh menguruskannya dengan baik?” katanya.

Minggu lalu, seorang dilaporkan maut, manakala lapan lagi cedera akibat dirempuh ketika agihan sumbangan tepung di barat laut Pakistan pada hari pertama Ramadan.

Sehubungan itu, katanya, tiga pekerja kilang ditahan kerana gagal memaklumkan penganjuran acara terbabit kepada polis, bagi membolehkan kawalan dilakukan di situ.

Beribu-ribu beg tepung juga dilaporkan turut dirompak dari trak dan beberapa tempat pengedaran sejak beberapa hari lalu.

INFLASI TERBURUK SEJAK 1970

Jurucakap biro perangkaan berkata, angka inflasi itu adalah peningkatan tertinggi yang direkodkan oleh biro itu sejak data bulanan mula dicatatkan pada 1970-an.

“Ini adalah inflasi tertinggi pernah direkodkan dalam data yang kami ada.

“Indeks harga pengguna meningkat 3.72 peratus pada Mac berbanding bulan sebelumnya. Harga makanan, minyak masak dan elektrik yang lebih tinggi merupakan punca utama peningkatan tersebut,” katanya.

Inflasi makanan tahunan pada Mac masing-masing pada 47.1 peratus dan 50.2 peratus bagi kawasan bandar dan luar bandar sementara inflasi teras berada pada 18.6 peratus di kawasan bandar dan 23.1 peratus di kawasan luar bandar.

Negara Asia Selatan itu mengalami kegawatan ekonomi selama berbulan-bulan dengan krisis imbangan pembayaran yang teruk.

Perbincangan dengan IMF untuk mendapatkan pembiayaan AS$1.1 bilion (RM4.8 bilion) sebagai sebahagian daripada langkah penyelamatan (bail out) berjumlah AS$6.5 bilion (RM28.6 bilion) yang dipersetujui pada tahun 2019 juga masih belum membuahkan hasil.

Laporan tinjauan ekonomi bulanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Jumaat lalu mengunjurkan inflasi akan kekal tinggi dan rizab pertukaran asing juga menyusut untuk menampung kos import selama hampir empat minggu.

Laporan itu menyebut masalah yang disebabkan oleh jurang permintaan dan bekalan barangan keperluan, penyusutan nilai tukaran mata wang, dan kenaikan harga bahan api sebagai punca di sebalik jangkaan inflasi yang lebih tinggi.-AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN