Lebih 155,000 penjawat awam Kanada ancam mogok

Lebih 155,000 penjawat awam Kanada ancam mogok

CHRIS Aylward (tengah) dalam sidang akhbar di Ottawa, semalam. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Lebih 155,000 penjawat awam di Kanada akan melancarkan mogok jika perjanjian tidak dicapai di antara kesatuan sekerja dengan kerajaan mengenai gaji dan tuntutan-tuntutan lain.

Lapor AFP, kakitangan kerajaan yang terlibat bekerja di lebih daripada 20 jabatan termasuk Agensi Hasil Kanada selain tidak mempunyai kontrak perkhidmatan sejak 2021.

Malah, mereka memilih untuk mengundi secara besar-besaran minggu lalu untuk mengadakan mogok.

Pegawai kesatuan berkata, kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat dalam soal gaji, keselamatan pekerjaan dan kerja jarak jauh.

Presiden Kebangsaan Perikatan Perkhidmatan Awam Kanada (PSAC), Chris Aylward berkata, pekerja-pekerja ini adalah sama seperti semua pekerja lain yang berhak mendapat gaji yang adil dan keadaan kerja yang baik walaupun terdapat kemajuan di meja perundingan.

“Ahli kami kecewa kerana sementara rundingan berlarutan, mereka terus ketinggalan.

“Kami sudah berada di meja rundingan selama hampir dua tahun dan para pekerja ini tidak boleh menunggu lebih lama lagi. Itulah sebabnya kami menetapkan tempoh dalam pusingan tawar-menawar ini,” katanya.

Jika perjanjian tidak dicapai selewat-lewatnya pada pukul 9 malam Selasa (waktu tempatan, mogok umum kebangsaan akan dipanggil bermula pada pukul 12:01 pagi Rabu (waktu tempatan).

PSAC adalah kesatuan kecil berbanding Kesatuan Pekerja Awam Kanada yang lebih besar, tetapi mogok oleh ahlinya masih boleh memberi impak.

Jika pekerja PSAC mogok, rakyat Kanada dijangka berdepan kelewatan dalam pemprosesan penyata cukai pendapatan, imigresen dan permintaan suaka, permohonan pasport serta permit pekerja asing.

Perkhidmatan konsular dan permintaan baharu untuk faedah veteran juga akan terjejas.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN