PETALING JAYA: 17 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak supaya Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat daripada jawatan serta keanggotaannya dalam parti.
Perkara itu dinyatakan dalam satu memorandum bersama dimana desakan tersebut atas dakwaan salah laku kepimpinan yang berat, pelanggaran perlembagaan parti, kegagalan moral serta hilangnya kelayakan Hamzah untuk terus memegang sebarang jawatan atau keanggotaan dalam parti itu.
“Kepercayaan terhadap Hamzah sudah runtuh sepenuhnya, khususnya berkaitan kegagalannya menyelesaikan kemelut dalaman Bersatu di Johor serta kegagalan memulihkan perpaduan di Perak.
“Antara salah laku yang dilakukan ialah kegagalan sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tidak mengawal penyokong yang melanggar perlembagaan parti, terbabit dalam insiden kekacauan semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 dan menjalankan rundingan dengan pihak luar tanpa mandat sah kepimpinan tertinggi parti.
“Malah Hamzah sebagai Timbalan Presiden turut mendalangi gerakan menjatuhkan Presiden melalui kutipan Akuan Berkanun (SD) serta bersubahat dalam usaha menggagalkan PAT, termasuk tindakan yang mencemarkan nama baik Presiden,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Ketua Bahagian Bersatu Muar, Basut Nin; Mohd Radzi Amin (Bakri); Uzzair Ismail (Sembrong); Nor Samsu Yusof (Segamat); Syafiq Aziz (Ayer Hitam); Samsudin Ismail (Iskandar Puteri); Tosrin Jaruanthib (Kulai) dan Kamaruzzaman Abu (Tebrau).
Selain itu Ketua Bahagian Bersatu Batu Pahat, Syed Mohamad Syed Alwi; Aidil Ahmad (Tenggara); Talib Salim (Kluang); Halim Abu Bakar (Mersing); Rasman Ithnain (Kota Tinggi); Farid Razak (Pasir Gudang); Alawiyah Talib (Ketua Srikandi Negeri Johor) dan Alias Rasman (Ketua Armada Negeri Johor).
Pada masa sama, mereka juga mahu Lembaga Disiplin Bersatu menjalankan prosiding segera dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) melaksanakan kuasa perlembagaan untuk memecat Hamzah tanpa kompromi bagi mempertahankan perlembagaan, disiplin organisasi dan masa depan parti.-UTUSAN










