ONTARIO: Pemimpin masyarakat Islam di Kanada bimbang mengenai penularan Islamofobia di negara itu selepas seorang lelaki bertindak mengeluarkan ugutan dan cuba melanggar jemaah di luar sebuah masjid di Markham, wilayah Ontario.
Lapor Al Jazeera, Presiden Persatuan Islam Markham, Qasir Nasir Khan memberitahu pemberita bahawa lelaki itu melakukan sejumlah tindakan Islamofobia di luar masjid, kira-kira 30 kilometer di utara pusat bandar Toronto.
“Dia mengancam untuk membakar masjid kami. Dia mengeluarkan kata-kata cemuhan tentang nabi (Muhammad).
“Paling membimbangkan, dia cuba merempuh jemaah kami dengan kenderaannya, kata Qasir Nasir dalam sidang akhbar semalam.
KOMUNITI ISLAM TAKUT
Qasir Nasir berkata, beliau bimbang setelah membayangkan kejadian pembunuhan beramai-ramai di masjid di bandaraya Quebec pada 2017 atau serangan di bandar London, Ontario di mana seorang individu melanggar seluruh ahli keluarga dengan traknya.
Sehubungan itu, katanya, komuniti Islam di Kanada mempunyai sebab untuk berasa takut.
Beliau menambah, memandangkan kejadian Islamofobia baru-baru ini di Kanada, jemaahnya dan umat Islam di seluruh negara itu mempunyai sebab untuk bimbang.
Polis turut mengesahkan bahawa seorang lelaki Toronto berusia 28 tahun itu sudah didakwa dalam situasi yang digelar sebagai bermotifkan kebencian di masjid itu sebelum pukul 7 pagi waktu tempatan, Khamis lalu.
Polis berkata, suspek menghadapi tiga pertuduhan iaitu mengeluarkan ugutan, menyerang dengan senjata dan memandu berbahaya.
“Penyiasat bimbang mungkin ada mangsa lain dan polis menggalakkan mereka untuk tampil,” kata polis.
SASAR KOMUNITI ISLAM
Insiden yang berlaku semasa bulan suci Ramadan itu adalah yang terbaharu dalam apa yang dikatakan oleh pemimpin Islam di Kanada sebagai peningkatan gangguan dan kadang kala tindakan keganasan yang membawa maut yang menyasarkan komuniti mereka.
Pada 2017, seorang lelaki bersenjata membunuh enam lelaki Islam ketika mereka solat di sebuah masjid di bandaraya Quebec menyebabkan gelombang kejutan di seluruh negara dan mendorong masalah itu menjadi trauma kepada umat Islam di Kanada.
Pada 2020, seorang penjaga masjid juga terbunuh di kawasan Toronto manakala pada Jun 2021, empat ahli keluarga Islam terbunuh dan ahli keluarga kelima, seorang budak lelaki, cedera parah apabila seorang lelaki melanggar mereka dengan traknya di London, Ontario.
WAKIL KHAS DILANTIK
Serangan terakhir itu mendorong kerajaan Perdana Menteri, Justin Trudeau mengadakan sidang kemuncak kebangsaan mengenai Islamofobia dan pada Januari lalu, Kanada melantik wakil khas pertamanya untuk memerangi Islamofobia.
“Kepelbagaian benar-benar adalah salah satu kekuatan terbesar Kanada, tetapi bagi kebanyakan umat Islam, Islamofobia adalah terlalu biasa.
“Kita perlu mengubahnya. Tiada seorang pun di negara kita harus mengalami kebencian kerana kepercayaan mereka,” kata Trudeau dalam satu kenyataan mengalu-alukan utusan baharu, Amira Elghawaby ke jawatan tersebut.
Mengulas mengenai insiden Markham, Elghawaby dalam ciapan di Twitter berkata, Kanada mesti melakukan perkara yang mampu menentang kebencian yang mengancam hak dan kebebasan serta mempertanggungjawabkan pelaku.
Ketua pembangkang Parti Demokratik Baru di Ontario, Marit Stiles juga menyatakan solidariti dengan masyarakat Islam di Markham dan berjanji untuk memerangi keganasan dan Islamofobia.
“Jenayah kebencian ganas yang berlaku di masjid Markham ini sangat membimbangkan, terutama sekali menjelang ulang tahun serangan London, Ontario dan semasa Ramadan.
“Amat menyedihkan bahawa komuniti kami terus menghadapi tindakan ganas Islamofobia pada bulan yang paling suci bagi umat Islam iaitu Ramadan,” kata Stiles.
“Apa yang berlaku dalam Markham mungkin lebih teruk.
“Tetapi kebencian mesti dilawan dengan tekad yang bersatu oleh semua pihak,” kata kumpulan peguambela Majlis Kebangsaan Muslim Kanada dalam ciapan di Twitter.