SEOUL: Beratus-ratus penduduk terpaksa dipindahkan susulan kebakaran hutan berlaku di lereng Gunung Inwangsan, tengah Seoul.
Kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 11.50 pagi (waktu tempatan) di rabung Gunung Inwangsan sebelum merebak ke kawasan berhampiran Gunung Bugak.
Menurut pihak berkuasa, kira-kira 120 isi rumah terpaksa dipindahkan namun setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jelasnya, jabatan bomba sudah mengerahkan lebih 500 anggota bersama 85 jentera serta 15 helikopter ke lokasi untuk memadamkan kebakaran itu.
Katanya, kebakaran itu memusnahkan kawasan seluas bersamaan kira-kira 30 padang bola sepak.
Agensi berita Yonhap melaporkan pihak berkuasa akan memulakan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran sebaik sahaja kebakaran itu dipadamkan sepenuhnya.
Terdahulu, pihak bomba mengeluarkan amaran kebakaran kecemasan tahap kedua selepas kejadian itu.
Sementara itu, Perkhidmatan Hutan Korea memaklumkan lebih 60 buah rumah dan bangunan rosak akibat kebakaran.
Jelasnya, sekurang-kurangnya 236 penduduk sudah dipindahkan di daerah Hongseong di selatan Chungcheong.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengarahkan pihak berkuasa termasuk jabatan bomba untuk menggunakan `semua sumber yang ada’ untuk memadamkan kebakaran tersebut. – AGENSI/AFP