MANILA: Sebuah kapal pengawal pantai China menyekat kapal peronda Filipina yang membawa wartawan di Laut China Selatan yang dipertikaikan, menyebabkan kedua-dua kapal itu hampir berlanggar.
Insiden yang berlaku pada Ahad lalu di Kepulauan Spratly itu merupakan yang terbaharu dalam rentetan perebutan berterusan antara China dan Filipina di wilayah perairan yang dipertikaikan.
AFP merupakan satu daripada beberapa media yang dijemput untuk menyertai dua bot Pengawal Pantai Filipina melakukan rondaan sejauh 1,670 kilometer di Laut China Selatan untuk melihat beberapa pulau dan terumbu karang.
Kapal Peronda Filipina, BRP Malapascua dan BRP Malabrigo diintip rapat tentera laut China dan kapal kedua-dua kapal itu diarahkan berundur daripada kawasan perairan tersebut beberapa kali sepanjang perjalanan selama enam hari itu.
“Bot Filipina dan China akan berlanggar jika tiada di antara kami bertolak ansur,” kata pegawai kerajaan, Malapascua Rodel Hernandez kepada media.
Pertembungan itu berlaku selepas bot pengawal pantai Filipina menghampiri Beting Thomas Kedua yang menyaksikan marin Filipina menempatkan kapal tentera laut rosak.
Ketika kapal Malapascua yang sepanjang 44 meter menghampiri beting, sebuah kapal Pengawal Pantai China yang saiznya lebih dua kali ganda, berlayar ke laluannya.
Hernandez berkata, kapal milik China itu datang dalam jarak 45 meter dari bot mereka dan tindakan pantasnya berjaya mengelak daripada kedua-dua kapal bertembung antara satu sama lain.
AFP menyaksikan saat cemas itu dari Malabrigo, yang jaraknya kurang satu km, dan sebuah kapal pengawal pantai China yang kedua turut kelihatan berdekatan.