JAKARTA: Kerajaan Indonesia bersetuju menerima sumbangan 15 unit kenderaan taktikal Bushmaster Protected Mobility Vehicle (BPMV) daripada Australia untuk kegunaan Pusat Misi Pemeliharaan Perdamaian Tentera Nasional Indonesia (PMPP TNI).
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Leftenan Jeneral Muhammad Herindra dan Panglima TNI, Laksamana Yudo Margono di Kompleks Parlimen Senayan di Jakarta semalam.
Muhammad turut menjelaskan empat kelebihan daripada aspek teknikal, strategik, politik dan ekonomi yang bakal diterima Indonesia daripada sumbangan kenderaan taktikal tersebut.
Katanya, kesemua kenderaan taktikal itu berada dalam keadaan baik dan sedia untuk digunakan.
“Kenderaan yang disumbangkan dalam keadaan baik dan dapat meningkatkan keberkesanan serta kecekapan latihan operasi dalam tempoh 20 tahun akan datang,” katanya.
Jelas beliau, BPMV merupakan kenderaan taktikal yang sesuai untuk kawasan padang pasir dan boleh mengangkut sehingga 8 tentera bersenjata lengkap.
Sumbangan itu juga tidak mengikat Indonesia dengan Australia pada masa hadapan kerana kenderaan berkenaan diberikan tanpa sebarang syarat.
“Dua kelebihan aspek strategik yang diperoleh ialah penerimaan sumbangan ini tidak membawa kepada keterikatan dan kebergantungan kepada Australia.
“Penerimaan sumbangan ini juga akan dapat meningkatkan hubungan dua hala antara Indonesia dan Australia khususnya dalam bidang operasi pertahanan serta keamanan dan pada masa sama tidak menjejaskan dasar luar Indonesia yang bebas dan aktif menyokong operasi keamanan dunia,” tambahnya.-AGENSI