Indonesia sedia 34,784 tan daging sempena Aidilfitri - Utusan Malaysia

Indonesia sedia 34,784 tan daging sempena Aidilfitri

SYAHRUL Yasin Limpo (tengah) meninjau ketersediaan daging sejuk beku di PT Dua Putra Perkasa Pratama di wilayah Rawalumbu di Kota Bekasi, Jawa Barat.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sebanyak 34,784 tan daging lembu dan kerbau beku disediakan di Jabodetabek, Batam, Gresik dan Bali untuk memenuhi keperluan sempena sambut Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertanian, Syahrul Yasin Limpo dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.  

“Saya akan memastikan ketersediaan daging dan lembu hidup pada masa ini dalam keadaan mencukupi, malah sehingga April ini, stok lebihan juga mencukupi,” katanya.

Menurutnya, laporan stok oleh perniagaan serta pemain industri secara rutin dilakukan dalam talian melalui aplikasi SIMREK PKH Kementerian Pertanian dan beliau menegaskan data tersebut selamat dan boleh dipercayai.

Dalam pada itu Syahrul Yasin dilaporkan sempat meninjau stok daging di tempat simpanan sejuk beku syarikat PT Dua Putra Perkasa Pratama di wilayah Rawalumbu di Kota Bekasi, Jawa Barat.

Syarikat yang memperoleh bekalan dari Australia, New Zealand, dan Amerika Syarikat (AS) itu mempunyai 15,000 tan stok daging lembu dan 5,000 tan daging ayam dalam simpanan mereka.

“Di lokasi itu, saya memastikan stok cukup untuk menyokong kerajaan membekalkan daging lembu bagi memenuhi permintaan masyarakat. Justeru, secara umumnya tiada masalah dengan ketersediaan daging lembu kita. Masyarakat tidak perlu risau, insya-Allah, sehingga Hari Raya sudah memadai,” katanya dipetik Antara News.

Dalam pada itu, jelas beliau, kerajaan akan terus memperkasakan pengedaran daging, baik ke pasar besar mahupun pasar lain di kawasan Jabodetabek, termasuk pasar di pulau selain Jawa seperti Kalimantan, Sulawesi, dan Sumatera. 

Dengan cara itu, stok daging akan diagihkan sama rata di seluruh Indonesia.

“Di peringkat pembekal atau pengedar utama, harga masih terkawal dan dinamik julat masih normal. Bagaimanapun, kami akan mengukuhkan kedudukan pengedaran, baik ke pasaran utama mahupun wilayah lain supaya semua data dan pengesahan stok yang kami dapati sepadan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN