Hampir 1,000 polis, tentera terlibat pembebasan juruterbang NZ

Hampir 1,000 polis, tentera terlibat pembebasan juruterbang NZ

LISTYO SIGIT PRABOWO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kira-kira 1,000 anggota polis dan tentera dikerahkan dalam operasi membebaskan juruterbang pesawat Susi Air, Kapten Philip Mehrtens yang dijadikan tebusan oleh puak pemisah.     

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo dalam satu sidang akhbar.

Juruterbang warga New Zealand itu diculik oleh kumpulan penjenayah bersenjata yang diketuai oleh Egianus Kogoya sejak 7 Februari lalu selepas pesawat dipandunya dibakar ketika mendarat di daerah pegunungan Nduga.

Menurut Listyo Sigit, ratusan anggota keselamatan itu dibahagikan kepada 36 pasukan sebelum dikerahkan di seluruh kawasan yang mana Mehrtens dijadikan tebusan.    

“Berhubung kejadian itu, polis Indonesia bersama tentera menjalankan Operasi Paro yang melibatkan seramai 965 anggota.

“Kami mengerahkan anggota ini ke lokasi-lokasi tertentu untuk menjalankan operasi tersebut,” katanya.

Jelas beliau, pasukan bersama itu juga berjaya menangkap Yomas Lokbere yang merupakan `orang kanan’ Egianus sepanjang Operasi Paro dilaksanakan selama dua bulan.

Berdasarkan hasil siasatan pasukan itu, Yomas juga disyaki memainkan peranan penting dalam membekalkan logistik dan senjata untuk kumpulan penjenayah bersenjata di Nduga.

Tambah Listyo Sigit, pasukan gabungan polis dan tentera itu tetap mengutamakan keselamatan juruterbang pesawat Susi Air yang menjadi tebusan.

Selain tindakan itu, beliau berkata, polis Indonesia juga terus bekerjasama dengan pelbagai pihak dari luar negara.

“Ia melibatkan pihak kedutaan dan polis dari New Zealand, Polis Persekutuan Australia, Kumpulan Peneraju Melanesia (MSG) dan pelbagai pihak asing.

“Mereka semua menghormati kedaulatan Indonesia dan mengutuk penculikan juruterbang yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah bersenjata,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN