KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 270 orang awam terbunuh dan lebih 2,600 cedera dalam rusuhan di antara kumpulan tentera dan separa tentera di Sudan yang memasuki hari keempat.
Data itu disahkan oleh pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memetik Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan Sudan.
Walaupun gencatan senjata dipersetujui di negara itu semalam, tembakan, letupan dan jet pejuang jelas kedengaran di seluruh Khartoum manakala lelaki bersenjata dilaporkan menyerbu rumah orang yang bekerja untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain.
Pertempuran berlaku di antara angkatan tentera negara dan separa tentera yang dinamakan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) berhampiran komando tentera, Istana Presiden dan berhampiran dengan dua pangkalan RSF di utara dan barat ibu negara.
Menurut saksi, percubaan gencatan senjata gagal apabila pertempuran meletus semula antara kedua-dua puak di tengah Khartoum hanya beberapa jam selepas mereka bersetuju dengan gencatan senjata 24 jam yang berkuat kuasa pada 6 pukul petang (waktu tempatan), semalam.
Penduduk bagaimanapun kekal terperangkap di tengah-tengah Sudan.
Badan amal perubatan, Médecins Sans Frontières (MSF) berkata, kekurangan bekalan perubatan, darah dan elektrik terancam untuk menyelamatkan nyawa di Sudan sambil menambah bahawa 11 orang meninggal dunia akibat kecederaan teruk di Darfur Utara.
Hospital terakhir di wilayah barat dilaporkan menerima berpuluh-puluh pesakit yang cedera dalam tempoh 48 jam yang lalu.
Menurut laporan dalam dokumen dalaman PBB yang dilihat oleh CNN, anggota bersenjata menyerbu rumah kakitangan PBB dan pekerja organisasi antarabangsa lain di pusat bandar Khartoum.
Menurut dokumen itu, lelaki bersenjata itu menyerang wanita secara seksual dan mencuri barangan termasuk kereta.
“Di Khartoum, kakitangan beruniform bersenjata dilaporkan dari RSF, memasuki kediaman ekspatriat, memisahkan lelaki dan wanita dan membawa mereka pergi.
“Satu kejadian rogol turut dilaporkan,” menurut laporan tersebut.
RSF bagaimanapun menafikan laporan itu dan memberitahu CNN dalam satu kenyataan bahawa ia tidak akan sekali-kali menyerang mana-mana kakitangan atau pekerja PBB.
Menurut mereka, RSF sangat prihatin untuk menghormati undang-undang antarabangsa.
Kenyataan itu terus menyalahkan pihak lawan dalam pertempuran yang diketuai oleh pemimpin tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan.
Mereka (pihak tentera) didakwa membekalkan rakyat dengan pakaian seragam RSF supaya boleh melakukan jenayah terhadap orang awam, kedutaan dan kumpulan lain termasuk PBB supaya imej dan perspektif RSF boleh rosak kepada semua orang, antarabangsa dan tempatan.
Khartoum dilanda keganasan dan huru-hara dalam perebutan kuasa antara Burhan dan Mohamed Hamdan Dagalo juga dikenali sebagai Hemedti, yang merupakan ketua RSF.