Finland kini jadi anggota baharu NATO

Finland kini jadi anggota baharu NATO

IBU pejabat NATO di Brussels, Belgium. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Finland secara rasmi menjadi anggota ke-31 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), dengan bendera negara itu akan dikibarkan di ibu pejabat pakatan ketenteraan itu. 

Langkah melengkapkan ratifikasi permohonan Finland menyertai NATO dalam tempoh kurang setahun, menjadikannya proses keahlian paling pantas dalam sejarah pertubuhan itu. 

Menteri Luar Finland menyerahkan dokumen penyertaan rasmi kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken selaku penjaga perjanjian pengasas NATO.

Bendera berwarna biru-putih negara itu dinaikkan bersama sekutu baharunya, antara Estonia dan Perancis di hadapan ibu pejabat NATO di Brussels.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg mengalu-alukan penyertaan Finland sebagai anggota ke-31 NATO serta menyifatkannya sebagai hari bersejarah bagi pakatan ketenteraan tersebut.

“Presiden Vladimir Putin melancarkan perang terhadap Ukraine dengan tujuan untuk mengurangkan kekuatan NATO, namun beliau mendapat sebaliknya,” katanya.  

Penyertaan Finland dalam pakatan NATO bakal memberi jaminan keselamatan tambahan terutamanya daripada ancaman Russia.

Pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine tahun lalu menjejaskan keselamatan Eropah dan mendorong Finland dan negara jirannya, Sweden berusaha untuk menyertai NATO.

Bantahan dari Turkiye dan Hungary menahan bidaan Helsinki selama berbulan-bulan dan masih menyekat Stockholm, sebelum Parlimen di Ankara memberi lampu hijau kepada usaha Finland, menerusi undian pada minggu lalu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Russia, Alexander Grushko berkata, Moscow akan meningkatkan kapasiti ketenteraannya di wilayah barat dan barat laut sebagai tindak balas kepada Finland menyertai NATO.

“Kami akan mengukuhkan kekuatan pasukan ketenteraan kami di dua bahagian itu. 

“Sekiranya berlaku penempatan pasukan dan sumber anggota NATO lain di Finland, kami sudah pasti akan mengambil langkah tambahan untuk memastikan keselamatan tentera Russia,” katanya.

Finland berkongsi sempadan sepanjang 1,340 kilometer (km) dengan Russia sekaligus paling panjang berbanding mana-mana negara Kesatuan Eropah (EU). – AFP/REUTERS/AGENSI      

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN