CIREBON: Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Cirebon memberi amaran kepada penduduk supaya berhati-hati menjalankan sebarang aktiviti luar ketika hujan lebat selepas dua orang dilaporkan meninggal dunia akibat dipanah petir dalam dua kejadian berasingan di daerah itu kelmarin.
Lapor Kompas.com, insiden tragis itu menimpa seorang petani dikenali sebagai Suwanda berusia 57 tahun ketika dia mencari sisa tuaian padi untuk diberi makan kepada ternakannya di kawasan sawah di Gegesik.
“Petir menyambar ketika Suwanda berada di tengah sawah dan mangsa terus jatuh tertunduk. Ketika penduduk mendekatinya, mangsa dilihat sudah meninggal dunia. Penduduk segera menelefon polis yang kemudian datang mengalihkan mangsa,” kata Ketua Polis Gempol, Munawan.
Pada hari yang sama, seorang penjaja makanan bernama Kholifah, 44, meninggal dunia sementara dua lagi cedera selepas sebuah warung disambar petir di Klangenan.
Mangsa bernama Ahmad Halim, 44, dan Adi Kurniawan, 33, masing-masing mengalami kecederaan parah dengan kesan melecur dari perut hingga kaki.
Koordinator Pusat Kawalan dan Operasi BPBD Cirebon, Faozan menasihati penduduk untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini berhubung keadaan cuaca semasa.
“Penduduk harus berwaspada dan mengelak beberapa kawasan lapang, seperti, padang sawah dan lain-lain ketika hujan. Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak berteduh di bawah pokok, tiang dan di luar bangunan ketika ribut petir.
“Sebagai langkah pencegahan, penduduk juga diminta mengurangkan penggunaan telefon bimbit kerana berisiko mencetuskan panahan petir,” katanya.