WASHINGTON: Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) menahan dua lelaki di New York kerana didakwa mengendalikan ‘balai polis rahsia’ China di kawasan kejiranan Chinatown, Manhattan.
Lapor BBC, Lu Jianwang, 61, dan Chen Jinping, 59, kedua-duanya penduduk New York City menghadapi tuduhan bersubahat untuk bertindak sebagai ejen untuk China dan menghalang keadilan.
Mereka dijangka hadir di mahkamah persekutuan di Brooklyn hari ini.
China sebelum ini menafikan mengenai pengendalian ‘balai polis’ itu dan menggelarnya sebagai pusat perkhidmatan untuk warganegaranya di luar negara.
Jianwang dari Bronx dan Jinping dari Manhattan didakwa bekerjasama untuk menubuhkan balai polis luar negara pertama di AS bagi pihak Kementerian Keselamatan Awam China, dakwa Jabatan Kehakiman AS.
‘Balai polis’ rahsia itu ditutup pada musim luruh 2022, kata jabatan itu, selepas mereka yang terlibat menyedari siasatan FBI terhadap stesen itu.
Pendakwa raya tertinggi di Brooklyn, Breon Pearce berkata, pendakwaan ini mendedahkan pencabulan terang-terangan kerajaan China terhadap kedaulatan negara dengan menubuhkan balai polis rahsia di tengah-tengah New York City.
Balai polis rahsia itu dipercayai beroperasi sekurang-kurangnya 100 buah di 53 negara termasuk United Kingdom dan Belanda.
Bulan lalu, Polis Persekutuan Kanada mengumumkan penyiasatan ke atas dua tapak kawasan Montreal yang dianggap sebagai pos polis.