JAKARTA: Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) mendedahkan seramai enam individu termasuk Datuk Bandar Bandung, Yana Mulyana ditahan berhubung dakwaan jenayah rasuah dalam perolehan kamera litar tertutup (CCTV) dan jaringan internet untuk Bandung Smart City.
Timbalan Pengerusi KPK, Nurul Ghufron dalam sidang media pagi semalam berkata, selain enam orang tersebut yang dinamakan sebagai suspek, terdapat juga beberapa lagi yang ditahan oleh agensi pencegahan rasuah itu untuk disoal siasat namun tidak dinamakan sebagai suspek.
Menurut beliau, penangkapan itu dibuat susulan siasatan lanjut terhadap laporan awam berhubung maklumat dakwaan penyerahan wang kepada pentadbir negeri.
“Turut dirampas dalam tangkapan yang dibuat Jumaat lalu adalah bahan bukti berjumlah 924.6 juta rupiah (RM276,722) berupa wang tunai dalam bentuk pecahan mata wang rupiah, dolar Singapura, dolar Amerika Syarikat (AS), ringgit Malaysia, yen dan baht.
“Selain itu, sepasang kasut Cruise Charlie Charlie Sneaker jenama Louis Vuitton berwarna putih, hitam dan coklat milik Yana yang dibeli di Thailand juga turut dirampas,” katanya.
Nurul berkata, Pengarah dan Pengurus syarikat PT SMA serta salah seorang pegawai tertinggi PT CIFO disyaki sebagai mereka yang bertanggungjawab memberikan rasuah tersebut.
Sementara itu, Yana serta dua lagi kakitangan Perkhidmatan Pengangkutan Kerajaan Kota Bandung didakwa sebagai penerima rasuah dan kesemua mereka bakal berdepan hukuman di bawah undang-undang berkenaan jenayah korupsi.
“Berhubung keperluan siasatan, suspek akan ditahan oleh pasukan penyiasat selama 20 hari setiap seorang bermula 15 April hingga 4 Mei 2023,” jelas Nurul.-AGENSI