Australia perlu berbelanja lebih untuk sektor pertahanan

Australia perlu berbelanja lebih untuk sektor pertahanan

KAPAL Tentera Laut Diraja Australia Canberra, Supply dan Warramunga berlayar bersama 37 kapal lain ketika latihan ketenteraan Pasifik 2022. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CANBERRA: Australia perlu membelanjakan lebih banyak wang untuk sektor pertahanan negara itu, dengan menghasilkan senjata sendiri dan membangunkan keupayaan melancarkan serangan sasaran jarak jauh. 

Saranan itu dikemukakan dalam satu laporan semakan ditugaskan oleh kerajaan yang dikeluarkan oleh kumpulan Kajian Strategik Pertahanan, baru-baru ini.

Laporan itu dikeluarkan ketika keupayaan ketenteraan China semakin berkembang sehingga mengancam keselamatan rantau.

Kumpulan itu turut menyokong pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang digelar sebagai AUKUS.

Sebelum ini, AUKUS mengumumkan perjanjian untuk menghasilkan armada Australia terdiri daripada lapan kapal selam yang dikuasai oleh teknologi nuklear dari AS.

Versi awam laporan semakan itu mensyorkan kerajaan Australia perlu membelanjakan lebih banyak untuk sektor pertahanan berbanding perbelanjaan semasa sebanyak dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Laporan semakan itu turut mencadangkan meningkatkan keupayaan Angkatan Pertahanan Australia bagi membolehkan menyerang sasaran dengan tepat pada jarak lebih jauh serta menghasilkan senjata buatan negara.    

Selain itu, laporan Kajian Strategik Pertahanan juga mencadangkan untuk meningkatkan keupayaan tentera untuk beroperasi dari pangkalan utara Australia.

Laporan itu turut mengesyorkan untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dengan rakan kongsi utama di rantau Indo-Pasifik termasuk India dan Jepun.  

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, semakan itu dilakukan bagi menilai sama ada negaranya mempunyai keupayaan pertahanan, postur dan kesiapsiagaan yang diperlukan untuk `mempertahankan diri’ dalam persekitaran strategik semasa.

“Kami menyokong hala tuju strategik dan penemuan penting dinyatakan dalam laporan itu.

“Ia dilihat akan mengukuhkan lagi keselamatan Australia selain memastikan kesediaan negara menghadapi cabaran masa depan,” katanya dalam kenyataan. – AP    

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.