AS akui gagal sekat Russia

Ukraine mangsa pencerobohan Russia -Duta AS

PERKHIDMATAN Kecemasan Ukraine membawa bahan letupan yang ditemukan di bandar Bucha untuk meletupkannya di tapak tentera di wilayah Kyiv. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mengaku gagal menghalang pencerobohan Russia di Ukraine melalui sekatan ekonomi.

Hal ini kerana Russia tetap berdegil untuk melakukan pencerobohan demi mencapai matlamat iaitu memiliki kuasa autonomi di timur Ukraine selain didakwa menghalang negara itu menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Duta AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters berkata, sekatan yang dikenakan oleh Barat dan sekutunya ke atas Russia bertujuan memberi tekanan kepada negara tersebut supaya mereka menghentikan peperangan dan keganasan di Ukraine.

BRIAN D. MCFEETERS

SEKATAN KURANG BERKESAN
Bukan setakat AS, katanya, banyak negara dunia turut menyertai usaha berkenaan bagi menghalang Russia untuk meneruskan peperangan di Ukraine.

Namun, menurut beliau, usaha itu masih belum cukup berkesan dan tidak berhasil untuk mendorong Russia me­ngubah pendiriannya.

“Anda mungkin mempersoalkan mengapa Barat memilih mengenakan sekatan. Sekatan adalah satu usaha untuk me­ngubah tingkah laku Russia, langkah untuk cuba menghalang mereka daripada meneruskan peperangan.

“Tetapi, kami mengakui sekatan-sekatan melibatkan sektor kewangan dan import yang dikenakan masih belum berjaya seperti yang kita harapkan.

“Russia masih enggan menamatkan perang terhadap Ukraine, jadi, saya rasa anda boleh katakan sekatan itu tidak cukup berkesan dan belum berfungsi dengan baik untuk mencapai matlamat yang dirancang,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.

TIADA KAITAN KRISIS MAKANAN
Dalam pada itu, beliau me­negaskan sekatan-sekatan yang dikenakan Barat dan sekutunya tidak pernah menyentuh tentang eksport pertanian Russia.

Malah, beliau menjelaskan, usaha tersebut tidak melibatkan bekalan makanan dan baja kera­na Barat secara khusus tidak pernah mengenakan sekatan terhadap dua sumber asas pen­ting di dunia tersebut bagi menjamin keterjaminan makanan.

Beliau turut mengulangi pendirian AS sebelum ini bahawa krisis keselamatan makanan yang membelenggu dunia bukan berpunca daripada sekatan ekonomi itu.

“Harus diingat, kita tidak mempunyai sebarang sekatan terhadap makanan dan baja. Jadi, krisis makanan global yang berlaku sebenarnya datang dari tindakan Russia itu sendiri.

“Mereka (Russia) yang cuba menghalang Ukraine daripada mengeksport bijirin dan baja. Jelas sekali ia bukan disebabkan oleh sekatan AS,” katanya.

Wartawan Utusan Malaysia menembu bual Brian D. McFeeters di pejabat kedutaannya di Jalan Tun Razak, Rabu lalu.-UTUSAN/MOHD.FARIZWAN HASBULLAH

Malah, jelas beliau, AS sudah melaksanakan pelbagai program bagi menyalurkan bantuan kemanusian berjumlah lebih AS$13 bilion (RM57.062 bilion) ke seluruh dunia terutama negara-negara miskin yang berdepan krisis makanan akibat tindakan Russia.

“Sejak dua tahun lalu, kita dapat melihat banyak negara-negara miskin, kebanyakannya di benua Afrika yang terjejas teruk, tetapi kami secara konsisten menyediakan pakej bantuan tambahan selepas perang bermula,” katanya.

BUKAN CAMPUR TANGAN
Dalam pada itu, McFeeters menjelaskan, tiada ancaman di pihak Ukraine untuk menceroboh Russia dan tidak ada sebarang rancangan yang wujud daripada mana-mana ahli NATO untuk menyerang negara itu.

Sebaliknya Russia hanya bertindak sendiri dan menjadikan NATO sebagai alasan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab AS bersama 54 negara lain untuk menyediakan peralatan pertahanan kepada Ukraine yang jelas sebagai mangsa pencerobohan Russia.

Malah, tegasnya, AS tidak pernah campur tangan secara langsung dalam peperangan itu dengan menghantar pasukan tentera sebaliknya memilih untuk memberikan tekanan kepada Russia menerusi sekatan supaya mereka sendiri mengubah keputusan dan menghentikan konflik yang tercetus.

“Seperti yang sering dikatakan pemimpin dunia lain, jika Russia memutuskan untuk berhenti menyerang Ukraine, perang berakhir pada hari itu. Tetapi, jika Ukraine yang memutuskan untuk berhenti berjuang, pasti negara itu akan musnah dan lenyap.

“Terpulang kepada masya­rakat antarabangsa untuk menyokong Ukraine dalam sera­ngan yang tidak wajar ini. Tiada istilah campur tangan dalam situasi ini, sebaliknya kami ha­dir untuk membantu mempertahankan Ukraine.

“Kami juga bimbang tentang laporan bahawa China sedang mempertimbangkan untuk memberikan bantuan veto kepada Russia kerana jika benar perkara ini berlaku, pasti akan mencetuskan huru hara,” tegasnya.

Berhubung sokongan dunia terhadap Ukraine, McFeeters sempat berterima kasih kepada Malaysia kerana menjadi satu daripada 140 negara yang menyertai dua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru Russia berundur dan membawa keamanan kembali ke Ukraine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN