JAKARTA: Seramai 24,000 orang meninggalkan Jakarta melalui Stesen Pasar Senen semalam ketika Ramadan berbaki kurang seminggu lagi sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal.
Menurut data Kawasan Operasi Kereta Api Indonesia Daerah Jakarta, penumpang itu berlepas dengan 32 perkhidmatan kereta api.
“Hari ini masih ada peningkatan pengguna perkhidmatan yang signifikan, ya, dari stesen Jakarta,” kata Ketua Kereta Api Jakarta, Eva Chairunisa di Stesen Pasar Senen.
Jumlah penumpang tren di Stesen Pasar Senen meningkat berbanding dua hari sebelumnya, yang masing-masing mencatatkan jumlah sekitar 23,500 orang.
Perkhidmatan kereta api Jakarta turut mencatatkan peningkatan jumlah penumpang di Stesen Gambir dengan sejumlah 15,800 orang berlepas dengan 38 perkhidmatan kereta api.
Secara keseluruhan terdapat 39,800 penumpang kereta api yang berlepas dari stesen kawasan Jakarta sejak Ahad lalu.
Berdasarkan data setakat Ahad, sebanyak 568,000 tiket sudah habis dijual daripada 1 juta tiket pengangkutan Aidilfitri 2023 yang disediakan di Jakarta untuk tempoh berlepas dari 12 April hingga 3 Mei.
Sementara itu, jumlah tertinggi penumpang berlepas dengan kadar penjualan tiket 100 peratus dicatatkan pada 21 April, yang dianggarkan sebagai waktu puncak kesesakan di stesen tersebut.
Beberapa destinasi kegemaran penumpang kereta api yang berlepas dari stesen Jakarta termasuk Yogyakarta, Surabaya, Purwokerto, Kutoarjo, Semarang, Tegal, Solo dan Bandung.-AGENSI