LAMPUNG: Dek kerana tugas, Ketua Lintas Perahu Bermotor (KMP) Sebuku, Kapten Dwi Irianto tidak dapat berkumpul bersama keluarga menyambut lebaran selama lebih 23 tahun.
Ketika umat Islam di Indonesia membuat persiapan untuk mudik sempena Aidilfitri, Dwi pula terpaksa berjauhan dengan keluarganya yang tinggal di Semarang, Jawa Tengah menjelang saat istimewa itu.
Malah, kapten kapal milik PT ASDP Indonesia Ferry itu mengorbankan peluang beraya bersama keluarganya demi memastikan keselamatan perjalanan pengembara yang mahu pulang ke kampung halaman mereka.
Hanya panggilan video melalui telefon bimbit dapat membantu Dwi mengubati kerinduan pada isteri, anak-anak dan orang tuanya.
Biarpun kadangkala hanya sebentar akibat masalah talian yang kurang jelas, beliau mengakui komunikasi yang dibuat sudah cukup untuk meningkatkan konsentrasinya ketika memandu kapal dan menjaga keselamatan setiap penumpang.
“Tidak pulang pada hari raya Aidilfitri adalah perkara biasa. Anak dan isteri saya faham apa yang saya lakukan ini demi mereka juga.
“Tetapi setiap tahun mereka akan menyebut ada seorang yang hilang dari keluarga ketika hari raya. Hari raya mereka tidak pernah lengkap selama 23 tahun,” katanya.
Jelasnya, rakan-rakan di atas kapal biasanya akan makan bersama dan menikmati juadah istimewa seperti ketupat dan opor ayam selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri supaya suasana hari raya masih terasa walaupun ketika bertugas.
Semasa menjalankan perkhidmatan pengangkutan untuk mudik Aidilfitri, kru serta kapten kapal tidak dibenarkan bercuti dari tarikh 20 Ramadan hingga 10 Syawal dan hanya dibenarkan berehat sebelum atau selepas tarikh tersebut.-AGENSI