BEIJING: Presiden China, Xi Jinping bersedia memperkukuhkan kedudukan dan kawalannya terhadap kerajaan dan ekonomi China apabila penggubal undang-undang dijangka bermesyuarat minggu ini bagi meluluskan pelantikan kerajaan baharu.
Lapor BBC, Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dijangka mengesahkan penggal ketiga Jinping sebagai presiden, dan pelantikan pasukan tertingginya.
Mereka juga akan menamakan perdana menteri baharu, komandan kedua selepas Jinping apabila penyandang, Li Keqiang dilaporkan melepaskan jawatan berkenaan.
Dua sesi mesyuarat akan diadakan bagi tujuan tersebut dan ia merupakan urusan tahunan.
Tetapi sesi tahun ini amat penting kerana para perwakilan dijangka membentuk semula beberapa institusi utama Parti Komunis dan negara.
Menurut media kerajaan, mereka juga akan mengetatkan kawalan ke atas badan yang mengawasi sektor kewangan serta kerja saintifik dan teknologi sambil memperkuatkan kerja parti dalam perniagaan swasta.
Tindakan itu akan mengaburkan lagi garis peranan antara Parti Komunis China dan kerajaan selain mengukuhkan kawalan parti itu ke atas sektor swasta.
Ini berlaku di tengah-tengah tindakan membanteras rasuah yang berterusan yang menyaksikan beberapa ahli perniagaan berprofil tinggi hilang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Orang terbaharu yang hilang ialah salah seorang pembuat perjanjian terkemuka China dalam sektor teknologi.










