BRUSSELS: Seorang wanita di Belgium yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup akibat membunuh lima anaknya, dibenarkan menamatkan nyawanya melalui prosedur euthanasia atas permintaannya sendiri.
Peguam Nicolas Cohen mengesahkan anak guamnya Genevieve Lhermitte meninggal dunia selepas menjalani prosedur euthanasia pada ulang tahun ke-16 tragedi pembunuhan itu, Selasa lalu.
“Lhermitte melakukan prosedur khusus itu selepas mendapatkan pelbagai pandangan perubatan,” katanya.
Undang-undang Belgium membenarkan individu dewasa memilih untuk menamatkan hayat mereka, sekiranya mereka dianggap mengalami masalah psikologi yang tidak tertanggung dan bukan hanya fizikal yang tidak dapat diubati.
Bagaimanapun, individu berkenaan perlu sedar keputusan mereka dan dapat menyatakan hasrat dengan cara yang munasabah dan konsisten.
Dilaporkan, Lhermitte mengelar leher anak lelaki dan empat anak perempuannya yang berusia tiga hingga 14 tahun dengan pisau dapur di sebuah rumah di bandar Nivelles, pada 28 Februari 2007.
Lhermitte kemudian cuba membunuh diri dengan menikam dirinya sendiri, namun percubaan itu gagal dan akhirnya dia menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Lhermitte dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2008 sebelum dipindahkan ke hospital psikiatri pada 2019.
Sebelum ini, peguam Lhermitte dalam hujahnya berkata, anak guamnya mengalami gangguan mental dan tidak sepatutnya dihantar ke penjara.
Sementara itu, pakar psikologi, Emilie Maroit berpandangan Lhermitte mungkin memilih untuk mati pada tarikh 28 Februari sebagai isyarat simbolik bagi menghormati anak-anaknya. – AFP