QUETTA: Sembilan pegawai keselamatan terbunuh dan sekurang-kurangnya 13 yang lain cedera berikutan serangan bom di barat daya Pakistan.
Letupan itu berlaku di wilayah Balochistan ketika pegawai itu kembali ke ibu kota wilayah Quetta, selepas mengawal perayaan Sibi yang menjadi acara kebudayaan tahunan.
Menurut polis, bukti awal menunjukkan bahawa insiden itu kemungkinan serangan bunuh diri.
Imej yang disahkan oleh BBC menunjukkan sebuah trak polis remuk dan terbalik dengan kesan darah di atas tanah.
Reuters melaporkan, penyerang bertindak merempuh trak tersebut dengan menaiki sebuah motosikal namun sehingga kini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab.
Kerajaan Balochistan mengutuk serangan itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan selepas pihak berkuasa mengepung kawasan itu dan membawa pasukan pemusnah bom untuk mengumpul bukti.
Ketua Menteri Balochistan, Abdul Quddus Bizenjo menegaskan, semua konspirasi menentang keamanan di wilayah itu tidak akan berjaya dengan sokongan orang ramai.