Sekolah menengah Afghanistan tanpa pelajar perempuan - Utusan Malaysia

Sekolah menengah Afghanistan tanpa pelajar perempuan

PELAJAR Gred 12, Deena Rahimi membaca buku di kediamannya di Kabul selepas kerajaan Afghanistan tidak membenarkan remaja perempuan menghadiri kelas peringkat menengah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Sesi persekolahan tahun akademik baharu di Afghanistan sudah pun bermula namun begitu pemerintahan Taliban masih menafikan peluang kepada pelajar-pelajar perempuan untuk menghadiri kelas di peringkat menengah.

Lapor Al Jazeera, perkara menyedihkan itu disahkan sendiri oleh Menteri Pendidikan Afghanistan, Habibullah Agha.

Habibullah dalam satu kenyataan berkata, pelajar-pelajar perempuan di negara itu hanya berpeluang mendapat pendidikan sehingga Gred 6 sahaja dan kerajaan masih kekal tidak membenarkan golongan itu menghadiri pengajian peringkat menengah.

Di negara berkenaan, hanya madrasah atau sekolah pengajian agama Islam sahaja yang terbuka kepada pelajar-pelajar perempuan dari semua lapisan usia.

Menurut seorang pelajar Gred 9 di Kabul dikenali sebagai Yada, madrasah merupakan pusat pengajian paling tepat sekali untuk meningkatkan pengetahuan agama.

“Tetapi, madrasah tidak boleh membantu saya bergelar seorang doktor, perkara itu hanya boleh dilakukan di sekolah,” kata Yada dengan nada sedih.

Sementara Sara yang berada di Gred 10 pula mengakui masih menaruh harapan semoga sekolah-sekolah dibuka sepanjang masa untuk semua golongan di Kabul tidak lama lagi.

“Semoga satu hari nanti sekolah akan dibuka untuk pelajar-pelajar perempuan dan pembelajaran saya akan dapat diteruskan.

“Saya masih berharap dan tidak akan berputus asa,” ujarnya.

Sejak berkuasa pada Ogos 2021, pemerintah Taliban begitu tegas dalam melaksanakan pemerintahan Islam.

Tindakan tidak membenarkan pelajar perempuan melanjutkan pendidikan di peringkat menengah dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu oleh Taliban, hanya beberapa jam selepas Kementerian Pendidikan membuka semula sesi persekolahan.

Tidak ada mana-mana negara yang majoriti penduduknya beragama Islam menafikan hak pendidikan kepada kaum wanita.

Taliban juga mengharamkan wanita melanjutkan pengajian di universiti sejak Disember lalu.

Pengarah Eksekutif Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Catherine Russell menyifatkan keadaan itu amat mengejutkan. 

“Larangan itu melenyapkan peluang kaum hawa untuk mengambil bahagian dalam komuniti yang akhirnya boleh membantu mereka mendapatkan pekerjaan sebagai doktor atau guru dan membantu mendidik anak bangsa mereka sendiri.

“Ia memberi kesan negatif kepada ekonomi negara dan beberapa sektor di mana wanita mampu membuat perubahan.

“Harus diingat, sistem kesihatan juga bergantung kepada wanita. Jururawat, doktor, perlu dididik supaya mereka mampu menggalas tanggungjawab penting itu di negara mereka sendiri. Kesan praktikalnya sangat buruk selain menghancurkan impian gadis-gadis yang sudah menanam cita-cita tinggi ini,” tegasnya.

Selain dinafikan mendapatkan hak terhadap pendidikan, golongan wanita di Afghanistan juga dilarang pergi ke taman, pameran, gim dan tempat mandi awam selain diwajibkan memakai burqa ketika berada di khalayak ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya