Russia, Ukraine berdepan kehilangan tentera di Donetsk - Utusan Malaysia

Russia, Ukraine berdepan kehilangan tentera di Donetsk

ANGGOTA tentera Ukraine bersedia untuk menyertai barisan hadapan berhampiran bandar Bakhmut di Donbas.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine dan Russia melaporkan jumlah korban yang tinggi di wilayah Donbas berikutan kemajuan pertempuran yang sangat perlahan oleh Moscow untuk merebut wilayah itu.

Kebanyakan pertempuran di timur berpusat di Bakhmut apabila sebahagian besar kawasan itu musnah dalam beberapa bulan serangan dan tembakan oleh Russia ketika konflik mencecah tempoh lebih setahun.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, Russia kehilangan lebih 1,100 orang tenteranya yang terbunuh dalam tempoh kurang seminggu pertempuran berhampiran bandar itu.

“Dalam masa kurang seminggu, bermula dari 6 Mac, kami berjaya membunuh lebih 1,100 tentera musuh di sekitar Bakhmut sahaja, satu kehilangan besar Russia yang tidak dapat dipulihkan berhampiran Bakhmut,” kata Zelenskyy.

Beliau berkata, tentera Russia juga  kehilangan kekuatan tenaga yang besar apabila lebih 1,500 anggotanya cedera teruk sehingga menghalang mereka daripada terus mara, ditambah dengan kemusnahan puluhan peralatan serta lebih 10 depot peluru Russia.

Kementerian Pertahanan Russia berkata, tenteranya sedang menjalankan operasi ketenteraan lanjut di wilayah Donetsk dan  Luhansk di Donbas.

Menurut kementerian itu, tentera Russia berjaya membunuh lebih 220 anggota perkhidmatan Ukraine dalam tempoh 24 jam lalu.

“Di arah Donetsk, lebih 220 askar Ukraine, sebuah kenderaan tempur infantri, tiga kenderaan tempur berperisai, tujuh kenderaan perang serta sebuah howitzer D-30 musnah pada siang hari semalam,” kata kementerian itu.

Sabtu lalu, Ukraine mendakwa lebih  500 tentera Russia terbunuh atau cedera dalam tempoh 24 jam ketika mereka berjuang untuk mengawal Bakhmut.

Tentera Russia dan tentera dari kumpulan tentera upahan Wagner yang dikendalikan secara persendirian dilaporkan berjaya menawan wilayah di bahagian timur, pinggir utara dan selatan Bakhmut tetapi masih gagal mengepungnya.

Moscow berkata, usaha menawan Bakhmut akan menjejaskan pertahanan Ukraine dan menjadi satu langkah ke arah merampas semua kawasan perindustrian Donbas yang menjadi sasaran utama mereka.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya