Pelbagai pihak di AS bantah TikTok diharamkan

Pelbagai pihak di AS bantah TikTok diharamkan

JAMAAL Bowman bercakap pada sidang akhbar bersama kumpulan penyokong aplikasi TikTok, di hadapan bangunan Capitol di Washington. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sekumpulan pengguna TikTok dan tiga penggubal undang-undang parti Demokrat di Amerika Syarikat (AS) menyuarakan bantahan terhadap sebarang larangan berpotensi dikenakan ke atas aplikasi media sosial, TikTok yang ketika ini digunakan lebih 150 juta penduduk di negara itu.

Dalam sidang akhbar diadakan di Washington, anggota Kongres Jamaal Bowman, Mark Pocan dan Robert Garcia serta kumpulan pengguna TikTok itu menggesa melaksanakan undang-undang privasi secara meluas yang turut akan merangkumi semua syarikat media sosial.          

“Mengapa kita perlu menimbulkan suasana panik dan hanya menyasarkan TikTok ?

“Mari kita melakukan perkara yang betul di sini iaitu reformasi media sosial yang komprehensif berkaitan dengan privasi dan keselamatan,” kata Bowman.

Kira-kira 12 pengguna TikTok yang terdiri daripada golongan remaja, guru dan pemilik perniagaan berhimpun di hadapan bangunan Kongres untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap larangan berpotensi itu serta menerangkan manfaat aplikasi itu dalam kehidupan mereka.

Sementara itu, Pocan berpandangan tindakan mengenakan larangan terhadap TikTok bukan penyelesaian yang terbaik.

“Tindakan melarang aplikasi itu bukan jawapannya, sebaliknya kita perlu memastikan data warga AS selamat, itu yang penting,” katanya.

Ketika ini, ramai penggubal undang-undang AS mahu TikTok diharamkan.

Malah, pengkritik bimbang data pengguna TikTok di AS akan diserahkan kepada pemerintah China. 

Minggu lalu, TikTok memaklumkan pentadbiran Presiden Joe Biden menuntut agar aplikasi yang dimiliki syarikat China itu melepaskan pegangan mereka atau berdepan kemungkinan diharamkan.

Dilaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Chew Shou Zi akan memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan Dewan AS di tengah-tengah gesaan untuk mengenakan larangan terhadap penggunaan TikTok. 

Ia berikutan wujudnya kebimbangan mengenai keselamatan negara ketika hubungan antara Beijing dan Washington bertambah keruh. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya