Mexico: 8 suspek kebakaran pusat tahanan pendatang diken

8 suspek kebakaran pusat tahanan pendatang dikenal pasti

KEADAAN di luar pusat tahanan pendatang asing di Ciudad Juarez, Mexico. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Pendakwa raya Mexico mengenal pasti lapan suspek yang dipercayai bertanggungjawab atas kematian 38 orang dalam kebakaran di sebuah pusat tahanan sementara pendatang asing di Ciudad Juarez, utara negara itu.

Lapor BBC, insiden kebakaran yang berlaku pada malam Isnin lalu, kini disiasat sebagai kemungkinan pembunuhan.

Lima daripada lapan suspek yang dikenal pasti, dilaporkan merupakan anggota keselamatan di pusat tahanan itu yang terletak di bandar bersempadan dengan Amerika Syarikat (AS).        

Pihak berkuasa ketika ini berdepan tekanan pelbagai pihak bagi menjelaskan mengapa kumpulan pendatang yang berasal dari Amerika Tengah dan Selatan, tidak dibenarkan pulang.

Presiden Mexico, Andrés Manuel López Obrador menegaskan pihak yang bertanggungjawab akan dihukum mengikut undang-undang.

López Obrador menerusi taklimat media turut memberi jaminan pihaknya akan menjalankan siasatan secara telus dan tiada pelepasan diberikan terhadap individu yang bertanggungjawab atas `tragedi yang menyakitkan’.

Sebelum ini, pemimpin itu menyatakan pendatang asing itu meletakkan tilam di pintu dan bertindak membakarnya sebagai protes setelah mengetahui mereka akan dihantar pulang.

Bagaimanapun, beberapa laporan mendakwa kumpulan pendatang itu ditangkap dan ditempatkan dalam keadaan yang teruk serta tidak diberi air secukupnya semasa dalam tahanan.       

Sebuah video berdurasi 30 saat dipercayai rakaman kamera keselamatan di dalam pusat tahanan itu ketika kebakaran, menunjukkan seorang lelaki cuba membuka pintu sel manakala anggota keselamatan yang berada di luar melintas tanpa membantu sebelum meninggalkan kawasan itu.

Rakaman video itu tular dalam media sosial serta dilaporkan oleh kebanyakan akhbar tempatan Mexico.

Malah, ramai warganet terkejut melihat tindakan anggota keselamatan yang gagal bertindak segera untuk membantu kumpulan pendatang asing itu.

Ketika diminta mengulas mengenai rakaman itu, López Obrador mendakwa pengamal media lebih berminat mensensasikan isu tersebut daripada memahami kesakitan dialami oleh pendatang yang terperangkap.

Pihak berkuasa Mexico memaklumkan seramai 68 lelaki berada di pusat tahanan itu semasa kebakaran berlaku.

Kebanyakan kumpulan pendatang itu berasal dari Guatemala, dengan yang lain datang dari Colombia, Ecuador, El Salvador, Honduras dan Venezuela.

Pihak berkuasa sudah mengeluarkan senarai mangsa namun masih belum memperincikan identiti individu yang cedera dan terkorban.

Dilaporkan, seramai 28 orang mengalami cedera parah akibat kebakaran itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya