KUTUPALONG: Satu kebakaran besar memusnahkan sebanyak 2,000 tempat perlindungan di sebuah kem pelarian Rohingya di tenggara Bangladesh, sehingga menyebabkan kira-kira 12,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Mijanur Rahman berkata, kebakaran itu berlaku kira-kira 2.45 petang (waktu tempatan) di Kem 11 di Kutupalong, salah satu tempat perlindungan pelarian terbesar di dunia.
“Kira-kira 2,000 tempat perlindungan terbakar hingga menyebabkan hampir 12,000 warga Myanmar yang dipindahkan secara paksa kehilangan tempat tinggal,” katanya.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya 35 masjid dan 21 pusat pembelajaran untuk pelarian turut musnah dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, katanya, tiada laporan mengenai kecederaan atau kematian.
Dilaporkan, api berjaya dikawal dalam tempoh kurang daripada tiga jam.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan bagaimana kebakaran itu bermula.
Justeru, pihak berkuasa mengarahkan siasatan dijalankan untuk mengetahui punca kebakaran itu.
Bulan lalu, laporan dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Bangladesh menyatakan sebanyak 222 insiden kebakaran berlaku di kem Rohingya termasuk 60 kes pembakaran sepanjang tempoh Januari 2021 dan Disember 2022.
Pada Mac 2021, satu kebakaran berlaku di kem Rohingya mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 orang maut dan hampir 50,000 orang kehilangan tempat tinggal. – AFP