Iran, Arab Saudi kembali jalin hubungan diplomatik

Iran, Arab Saudi kembali jalin hubungan diplomatik

SETIAUSAHA Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Shamkhani (kanan) berjabat tangan dengan Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Pusat China, Wang Yi (tengah) semasa pertemuan dengan Penasihat Keselamatan Negara Arab Saudi, Musaed Mohammed Al-Aiban di Beijing. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran dan Arab Saudi bersetuju memulihkan semula hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dalam tempoh dua bulan akan datang selepas terputus selama tujuh tahun lalu.

Pengumuman hasil rundingan yang dikendalikan oleh China itu bakal mempunyai implikasi meluas di seluruh Asia Barat.

China menjadi pengantara dalam rundingan damai antara Riyadh dan Teheran untuk meredakan krisis dua hala. 

Menerusi satu kenyataan trilateral, Iran dan Arab Saudi memaklumkan akan membuka semula kedutaan dan misi diplomatik dalam masa dua bulan serta melaksanakan perjanjian kerjasama keselamatan dan ekonomi yang dimeterai lebih 20 tahun lalu.

“Selepas mengadakan beberapa rundingan, Iran dan Arab Saudi bersetuju menjalin semula hubungan diplomatik dan kembali membuka kedutaan dan misi dalam tempoh dua bulan,” jelas kenyataan bersama itu.

Kenyataan itu disiarkan dalam laman media rasmi kedua-dua negara.

Riyadh memutuskan hubungan dengan Teheran selepas penunjuk perasaan Iran menyerang misi diplomatik Arab Saudi pada tahun 2016 susulan negara itu melaksanakan hukuman mati terhadap ulama Syiah, Nimr al-Nimr.

Pengumuman itu menyusuli rundingan selama lima hari di Beijing dan siri dialog di Iraq dan Oman, merangkumi penjajaran semula dan usaha untuk meredakan ketegangan di rantau itu. 

Pengenduran ketegangan antara Arab Saudi dan Iran berpotensi membentuk semula hubungan di seluruh Asia Barat yang dicirikan oleh pergolakan sejak puluhan tahun lalu.

Iran dan Arab Saudi menyokong pihak pesaing di beberapa zon konflik termasuk Yaman, yang mana kumpulan Huthi di sokong Teheran, manakala Riyadh mengetuai pakatan ketenteraan menyokong kerajaan.

Kedua-dua negara itu juga berebut untuk memegang pengaruh di Syria, Lubnan dan Iraq.

Dalam pada itu, diplomat kanan China, Wang Yi menyifatkan pengumuman itu sebagai satu kemenangan bagi rundingan dan keamanan.

Menurut beliau, China akan terus memainkan peranan konstruktif dalam menangani isu pertikaian global yang rumit.

Sementara itu, White House mengalu-alukan pengumuman itu, namun memaklumkan masih belum jelas sama ada Iran akan ‘memenuhi janji mereka’. – AFP/REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya