JAKARTA: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan apabila dahinya berlubang dan matanya hampir buta akibat diserang seekor beruang liar ketika berada di kawasan kebun getah di Jambi baru-baru ini.
Lapor CNN Indonesia, Komar Hidayat, 31, turut mengalami kecederaan parah di muka dan dada akibat cakaran binatang itu.
Jelas isteri Komar, Ayu, 17, serangan berlaku Khamis lalu ketika Komar sedang menoreh getah di Kampung Suka Damai.
“Dia tidak berdiam diri dan sempat menutup mulut beruang itu supaya tidak menggigitnya. Bagaimanapun, haiwan liar ini mencakar Komar sehingga menyebabkan wajahnya berlumuran darah dan bola matanya hampir terkeluar,” jelasnya.
Pakar Bedah, Anton Trihartono berkata, keadaan lelaki itu stabil dan kini sedang menjalani rawatan intensif di Hospital Daerah Raden Mattaher.
“Ada bahagian mata yang telah dibuang dengan sebahagian tulangnya hancur. Terdapat juga darah di kawasan otak, luka koyakan di dada kiri malah kakinya juga patah.
“Dalam masa terdekat, Komar akan menjalani pembedahan yang dibiayai kerajaan. Kami sudah mendapatkan nasihat doktor pakar dan kami akan memberi tumpuan kepada kecederaan di bahagian kepala dan dada terlebih dahulu,” kata Anton.
Sementara itu, Ketua Wilayah Jambi, Didi Bangkit Kurniawan berkata, pihaknya bersama polis, tentera dan kerajaan tempatan sudah membuat pemeriksaan di lokasi kejadian dan memasang perangkap di kawasan berkenaan bagi menangkap beruang yang menyerang Komar.