Bakar al-Quran: UK sekat perjalanan Rasmus Paludan

Bakar al-Quran: UK sekat perjalanan Rasmus Paludan

LELAKI Afghanistan berarak menentang pembakaran Al-Quran oleh Rasmus Paludan selepas solat Jumaat di Ghazni pada 27 Januari lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang ahli politik sayap kanan Denmark dihalang dari memasuki United Kingdom (UK) selepas mengancam untuk membakar naskhah al-Quran di Wakefield.

Menteri Keselamatan UK, Tom Tugendhat berkata, Rasmus Paludan, pengasas parti anti-Islam Stram Kurs kini ditambah ke dalam senarai pemerhatian Imigresen UK.

Paludan dilaporkan merancang untuk membakar naskhah al-Quran itu di dataran awam di bandar West Yorkshire minggu ini.

Ia berlaku selepas empat murid di sebuah sekolah Wakefield digantung persekolahan kerana membuat kerosakan pada naskhah al-Quran yang dibawa oleh rakan mereka.

SEMPENA RAMADAN
Dalam video yang disiarkan di Twitter pada Ahad lalu, Paludan berkata, beliau akan pergi ke bandar berkenaan untuk menentang kuasa tidak demokratik UK.

Dia berhasrat untuk membakar al-Quran pada hari ini bertepatan dengan permulaan Ramadan.

Paludan turut mengadakan beberapa protes sebelum ini yang mana teks Islam itu dibakar sehingga membawa kepada demonstrasi yang ganas.

Pada bulan Januari, dia membakar senaskhah al-Quran di luar kedutaan Turkiye di Stockholm.

TURKIYE TAHAN SWEDEN SERTAI NATO
Bantahan itu menjadi sebahagian daripada perbalahan diplomatik antara Turkiye dan Sweden dengan Turkiye kini menahan permohonan Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Menteri Keselamatan UK itu memberitahu Dewan Rakyat mengenai campur tangannya selepas Ahli Parlimen Buruh untuk Wakefield, Simon Lightwood membangkitkan kebimbangan Isnin lalu mengenai potensi tindakan Paludan.

Lightwood berkata, ahli politik Denmark yang juga Islamofobia sayap kanan, Paludan memberitahu akan pergi ke Wakefield dari Denmark untuk membakar al-Quran di tempat awam.

“Paludan sebelum ini dipenjarakan di Denmark kerana kenyataannya yang penuh kebencian dan perkauman. Dia seorang yang berbahaya yang tidak sepatutnya dibenarkan masuk ke negara ini.

“Bolehkah setiausaha dalam negeri memberi jaminan kepada saya dan komuniti saya bahawa kerajaan sedang mengambil tindakan untuk mencegah perkara ini?,” tanya Lightwood.

INDEKS AMARAN UK
Tugendhat berkata, Paludan kini ditambah ke dalam indeks amaran UK.

Februari lalu, empat murid digantung dari Sekolah Tinggi Kettlethorpe Wakefield selepas seorang pelajar Tahun 10 membawa al-Quran ke sekolah berkenaan.

Muka depan teks Islam itu koyak dan beberapa muka surat tercalar, tetapi polis menyimpulkan tiada kesalahan dilakukan.

Guru besar sekolah itu berkata, beliau berpuas hati bahawa tiada niat jahat oleh mereka yang terlibat.–BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.