Wanita diselamatkan selepas 222 jam terperangkap

TERKINI: Wanita diselamatkan selepas 222 jam terperangkap dalam runtuhan di Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHRAMANMARAS: Seorang wanita berusia 42 tahun berjaya dibawa keluar dari bawah runtuhan bangunan di bandar Kahramanmaras, selatan Turkiye.

Lapor Al Jazeera, wanita yang dikenali sebagai Melike Imamoglu dipercayai terperangkap selama hampir 222 jam dalam runtuhan bangunan selepas gempa bumi dahsyat melanda selatan negara itu.

Rakaman televisyen menunjukkan pasukan penyelamat menarik keluar wanita berkenaan dari timbunan runtuhan bangunan tersebut.

Melike kemudian dibawa naik ke bahu jalan menggunakan pengusung sebelum dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans.

Kerja-kerja menyelamat dilakukan pada hari kesembilan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye.

Bandar Kahramanmaras terletak berhampiran kawasan pusat yang dilanda gempa bumi minggu lalu.

Sementara itu, operasi SAR masih diteruskan di selatan Turkiye walaupun harapan untuk menemukan mangsa yang hidup mungkin amat tipis pada hari kesembilan sejak dilanda gempa bumi.

Menurut kerajaan, sebanyak 74 pasukan penyelamat dari luar negara berada di Turkiye untuk membantu anggota penyelamat negara sejak gempa bumi pertama melanda pada 6 Februari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN