Tembak jatuh belon: Biden akan bercakap dengan Xi Jinping

Tembak jatuh belon: Biden akan bercakap dengan Xi Jinping

JOE Biden bercakap tentang tindak balas AS terhadap belon China beraltitud tinggi dan tiga objek lain yang baru-baru ini ditembak jatuh oleh tentera AS.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan bercakap dengan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping berhubung tindakan Tentera Udara AS menembak jatuh belon yang didakwa pengintip dari negara republik itu, 4 Februari lalu.

Dalam ucapan awamnya, Biden berkata, pihaknya akan membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam.

“Saya menjangkakan untuk bercakap dengan Presiden Xi dan kita akan teliti sehingga ke pe­ringkat bawah dalam perkara ini.

“Kami akan sentiasa bertindak untuk melindungi kepen­tingan dan keselamatan rakyat Amerika,” katanya.

Sambil menegaskan bahawa AS tidak berniat untuk mencari perang dingin baharu, Biden berkata, beliau bagaimanapun tidak akan memohon maaf kerana membenarkan belon itu ditembak jatuh.

AS dikatakan berada dalam situasi cemas apabila belon putih besar dari China itu dikesan menjejaki tapak senjata nuklear rahsia Pentagon sebelum ditembak jatuh tidak jauh dari pantai timur negara itu.

Susulan kejadian itu, tentera AS melaraskan tetapan radar untuk mengesan objek yang lebih kecil dan menemukan tiga lagi objek yang tidak dikenali yang turut diarahkan ditembak jatuh oleh Biden.

Sebuah objek ditembak di ruang udara Alaska, satu lagi di Kanada dan yang ketiga di atas Tasik Huron di luar Michigan.

China berkata, belon itu ha­nyalah kapal penyelidikan cuaca, tetapi pegawai AS mengatakan mereka mempunyai bukti konklusif bahawa belon itu dihantar untuk mengintip.

Insiden itu bagaimanapun dikatakan mencetuskan keretakan diplomatik, dengan Se­tia­usaha Negara AS, Antony Blinken secara tiba-tiba membatalkan lawatannya ke China.

Beijing turut menuduh Wa­shington bertindak keterlaluan dan mendakwa bahawa belon AS turut melimpahi wilayah China, sesuatu yang dinafikan pentadbiran Biden. –AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.