Pelajar 16 tahun tikam guru hingga maut - Utusan Malaysia

Pelajar 16 tahun tikam guru hingga maut

PARIS: Seorang pelajar sekolah menengah bertindak agresif dengan menikam seorang guru hingga membawa maut di sebuah sekolah di bandar Saint-Jean-de-Luz, Perancis.

Lapor BBC, jurucakap kerajaan Perancis, Olivier Véran mengesahkan serangan pada hari ini dan berkata pelaku berusia 16 tahun.

Polis hadir ke sekolah Saint-Thomas d’Aquin di mana pelajar itu ditangkap.

Akhbar Perancis, Sud Ouest berkata, penyerang memasuki bilik darjah ketika guru itu mengajar kelas bahasa Sepanyol.

Media tempatan turut melaporkan, guru itu dikatakan berusia lima puluhan dan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas pasukan kecemasan tiba di sekolah.

Sementara Stesen TV Perancis, BFM berkata, penyerang mengunci pintu bilik darjah dan menikam guru itu di bahagian dada.

Menteri Pendidikan Perancis, Pap Ndiaye dalam ciapan Twitter berkata, fikirannya kini tertumpu kepada keluarga, rakan sekerja dan murid kepada guru yang maut tersebut.

Dia berkata, dia kini dalam perjalanan ke sekolah berkenaan.

Media tempatan melaporkan, pelajar tersebut mungkin mengalami masalah kesihatan mental.

Bagaimanapun, pada peringkat penyiasatan awal, tidak ada tanda-tanda kejadian itu dengan keganasan.

Sekolah berkenaan merupakan sebuah sekolah milik pertubuhan Katolik swasta berhampiran pusat Saint-Jean-de-Luz, lokasi percutian musim panas Perancis yang terkenal.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN