ROM: Lebih 100 pendatang termasuk kanak-kanak dikhuatiri meninggal dunia selepas bot mereka pecah dan karam dalam keadaan laut bergelora di selatan Itali, semalam.
Lapor BBC, setakat ini, sekurang-kurangnya 62 pendatang disahkan meninggal dunia dengan 12 kanak-kanak dikatakan antara mangsa, termasuk seorang bayi.
Bot itu dipercayai membawa kira-kira 200 orang, pecah ketika cuba mendarat berhampiran Crotone, semalam.
Mereka yang berada dalam kapal berkenaan merupakan pendatang dari Afghanistan; Pakistan; Somalia; Syria; Iraq dan Iran.
Mayat-mayat ditemukan di pantai pusat peranginan berdekatan wilayah Calabria.
Pengawal pantai berkata, 80 orang ditemukan hidup termasuk beberapa yang berjaya sampai ke pantai selepas bot karam, bermakna ramai lagi yang masih belum diketahui nasib mereka.
Seorang mangsa yang terselamat dilaporkan ditangkap atas tuduhan pemerdagangan migran, kata polis kastam.
Ramai daripada mereka yang berada di atas kapal itu dianggap berasal dari Pakistan.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, lebih 24 warga Pakistan dipercayai antara mereka yang lemas dan meminta diplomat untuk mengesahkan fakta secepat mungkin.
Ketika bantuan dan operasi pemindahan diteruskan, sekumpulan mangsa yang terselamat dari bot karam meratapi kehilangan orang tersayang mereka.
Di pusat penerimaan sementara di bandar Isola di Capo Rizzuto, ada di antara mereka yang menangis, ada yang hanya merenung dalam kekosongan sambil dibaluti selimut.
Wakil badan amal, Médecins Sans Frontières (MSF), Sergio Di Dato berkata, mereka yang terselamat kini berasa sangat trauma.
“Sesetengah kanak-kanak dilaporkan kehilangan seluruh keluarga mereka. Kami menawarkan semua sokongan yang kami mampu,” katanya.
Seorang budak lelaki berusia 16 tahun dari Afghanistan kehilangan kakaknya yang berusia 28 tahun.
Dia kini tidak dapat mencari kekuatan untuk memberitahu ibu bapanya mengenai kehilangan kakaknya itu.
Seorang lelaki berusia 43 tahun dari Afghanistan terselamat bersama anak lelakinya berusia 14 tahun, tetapi isterinya dan tiga lagi anaknya, yang berusia 13 tahun, sembilan dan lima tahun tidak berjaya diselamatkan.
Seorang lagi wanita Afghanistan yang menangis ketika diselamatkan tidak berganjak dari pantai selepas kehilangan suaminya.