Kepimpinan ASEAN Indonesia: Kadin perkenal lima program legasi - Utusan Malaysia

Kepimpinan ASEAN Indonesia: Kadin perkenal lima program legasi

ARSJAD Rashid (dua dari kanan) bersama delegasi lain di sidang akhbar Majlis Penyerahan Jawatan Pengerusi ASEAN-BAC 2023 daripada Kemboja kepada Indonesia, di Jakarta. - AGENSI  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Dewan Perdagangan dan Industri Indonesia (Kadin) akan memperkenalkan tujuh program legasi yang memberi tumpuan terhadap lima isu keutamaan semasa kepemimpinan ASEAN Indonesia tahun ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Kadin merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN 2023 (ASEAN-BAC 2023), Arsjad Rasjid pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Jawatan Pengerusi ASEAN-BAC 2023 dari Kemboja kepada Indonesia. 

Tiga daripada tujuh legasi itu membabitkan program pendigitalan yang memberi tumpuan kepada teknologi kewangan dan e-perdagangan iaitu Kod QR (Tindak Balas Pantas) ASEAN, Platform Pinjaman P2P (peer to peer) ASEAN dan Keusahawanan WIKI.

Menurut Arsjad, Kadin sedang bekerjasama dengan semua bank pusat di negara ASEAN bagi membangunkan kod QR.

Malah, kata beliau, program Keusahawanan WIKI akan menyokong perdagangan antarabangsa antara negara Asia Tenggara khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).

Jelasnya, program legasi lain seperti Hab Sifar Bersih ASEAN dan Pusat Kecemerlangan Karbon akan turut dilaksanakan untuk menangani isu kemampanan alam sekitar.

“Program Hab Sifar Bersih ASEAN akan membantu sektor swasta dalam menyahkarbon dan mencapai sasaran sifar bersih di peringkat ASEAN,” katanya.

“Pusat Kecemerlangan Karbon pula diharap dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama global dalam mencapai matlamat sifar bersih serta memperkasakan pemain industri untuk memanfaatkan potensi perdagangan karbon,” katanya.

Sementara itu, Arsjad memaklumkan pihaknya juga akan memperkenalkan kempen ASEAN One Shot yang memberi tumpuan terhadap sektor kesihatan untuk mewujudkan program vaksinasi serantau yang kekal.

Katanya, program itu juga dapat mengukuhkan kapasiti pembuatan dan penyelidikan klinikal disokong dengan infrastruktur digital yang mencukupi.  

“Usaha itu bertujuan meningkatkan daya tahan dan kesiapsiagaan sistem kesihatan serantau terhadap kemunculan wabak baharu pada masa hadapan.

“Program kesihatan ini akan dilaksanakan menerusi pelbagai kerjasama antara kerajaan ASEAN, pemain industri kesihatan dan organisasi kesihatan global,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya