Gempa bumi Turkiye: 160 suspek ditahan reman - Utusan Malaysia

Gempa bumi Turkiye: 160 suspek ditahan reman

WARAN tangkap turut dikeluarkan terhadap 71 suspek membabitkan runtuhan bangunan tersebut. - AGENSI  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Sekurang-kurangnya 160 suspek ditahan reman di seluruh Turkiye berhubung bangunan runtuh dalam kejadian dua gempa bumi dahsyat yang menggegarkan negara itu.

Lapor Agensi Anadolu, sumber kehakiman memaklumkan seramai 564 suspek didakwa oleh pendakwa raya Turkiye, sebahagiannya berhubung siasatan ke atas bangunan runtuh atau melanggar kod pembinaan bangunan.

Jelas sumber itu, sekurang-kurangnya 175 suspek dibebaskan dengan jaminan mahkamah, yang bermakna individu berkenaan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Selain itu, waran tangkap dikeluarkan terhadap 71 suspek, selain perintah penahanan bagi 61 individu yang lain membabitkan runtuhan bangunan tersebut.

Menurut sumber, 18 individu masih ditahan atas perintah Pejabat Ketua Pendakwa Raya manakala 11 lagi suspek sudah meninggal dunia.

Tambahnya, enam suspek ketika ini berada di luar negara.

Berdasarkan angka terkini, lebih 43,500 orang terkorban akibat dua gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye pada 6 Februari lalu.

Gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud berpusat di Kahramanmaras turut menggegarkan 10 wilayah lain termasuk Hatay, Gaziantep, Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Kilis, Malatya, Osmaniye, Elazığ dan Şanlıurfa.

Lebih 13 juta penduduk yang tinggal di kawasan itu terjejas akibat gempa bumi dahsyat itu.

Kerajaan Turkiye melakukan penangkapan besar-besaran membabitkan kontraktor bangunan ketika parti pembangkang mengkritik pelanggaran kod pembinaan sehingga mengakibatkan kehilangan banyak nyawa.     

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.