Ecuador guna hasil rampasan kokain sebagai bahan binaan

Ecuador guna hasil rampasan kokain sebagai bahan binaan

ECUADOR menggunakan kokain yang dirampas sebagai bahan binaan. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUITO: Ecuador meneroka sumber baharu dengan menjadikan rampasan kokain sebagai bahan binaan.    

Di bawah kepemimpinan Presiden Guillermo Lasso, Ecuador meningkatkan usaha memerangi kumpulan penjenayah yang menggunakan negara itu sebagai tempat transit penghantaran kokain ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.    

Menurut polis, jumlah dadah dirampas di Ecuador meningkat hampir dua kali ganda pada 2021 berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan lebih 210 tan yang kebanyakannya merupakan kokain.

Jelas pegawai, walaupun hasil rampasan pada 2022 menurun sedikit, ia masih kekal tinggi, malah jumlah rampasan itu melebihi ruang di 27 gudang polis, lokasi dadah itu disimpan sebelum dimusnahkan.   

Setiausaha Kawalan Dadah di Kementerian Dalam Negeri Ecuador, Edmundo Mera berkata, jumlah rampasan itu juga melebihi kapasiti ketuhar yang biasanya digunakan untuk membakar bahan terlarang itu.

Dilaporkan, ketika ini, Ecuador sedang menggunakan lebihan kokain itu dalam bahan binaan.

Dengan menggunakan kaedah khas dan mendapat sokongan daripada Pejabat Pencegahan Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) Ecuador, bata kokain yang dirampas akan dihancurkan dalam mesin industri dengan bahan buangan lain di loji pelupusan sisa sebelum mencampurkan serbuk halus yang terhasil dengan simen, pasir dan air untuk mencipta platform konkrit.

Ratusan blok kokain hidroklorida dan pes koka yang dirampas dari seluruh Ecuador tiba setiap minggu di loji rawatan sisa di pinggir ibu kota Quito untuk dimusnahkan bersama kaca, ubat-ubatan tamat tempoh dan juga sisa minyak.

Serbuk itu kemudian dicampur dengan bahan lain untuk menghasilkan simen bagi digunakan dalam pembinaan.

Apabila simen dihasilkan, ia bertindak balas dengan bahan lain yang ada untuk membentuk konkrit yang stabil dan kukuh yang menghalang kokain daripada meresap ke dalam tanah atau dipulihkan.   

Pihak berkuasa Ecuador menggunakan proses ini untuk mengisi lubang sedalam 15 meter dengan lapisan konkrit yang kemudiannya akan membentuk lantai gudang di sebuah loji.

Ketika ini, tiada rancangan untuk menggunakan kokain diproses itu bagi projek infrastruktur lain.

Sementara itu, menurut juruteknik di loji itu, ketika ini, terdapat kira-kira 350 tan kokain hancur dan pes koka yang dirampas antara tahun 2021 dan 2022 yang sudah digunakan. – REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya